Jailan bersama produk anyaman di reruai tapak sambutan Tamu Besar Kota Belud di Pekan Kota Belud.
KOLABORASI Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam penganjuran Tamu Besar Kota Belud 2024 dilihat berjaya mencipta sinergi dalam melonjakkan ekonomi ‘Koboi Timur’.
Angkat Citra Budaya, TradisiĀ
Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara MOTAC, Rosnan Abdul Rahman berkata kolaborasi yang julung kali itu merangsang kepada sinergi citra budaya serta tradisi masyarakat Kota Belud untuk diangkat sebagai destinasi pelancongan yang utama menerusi kalendar pelancongan.
“Ini kali pertama MOTAC berkolaborasi dengan kerajaan Negeri Sabah bersama dengan Pejabat Daerah Kota Belud bersama-sama dengan Majlis Daerah Kota Belud serta Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
“Kita bekerjasama bagi melaksanakan program tamu besar yang sinonim dengan masyarakat di Kota Belud dalam skala besar dan saya pasti akan dapat menggamit ramai lagi pengunjung untuk datang ke sini.
“Melalui program seperti ini, Tamu Besar Kota Belud boleh dijadikan sebagai kalender tahunan untuk produk pelancongan budaya.
“Para petugas daripada pelbagai jabatan dan agensi serta persatuan kita anggarkan lebih kurang 500 orang yang terlibat dengan aktiviti.
“Tetapi, keseluruhannya kita jangkakan lebih kurang 50,000 orang berda di Kota Belud sepanjang tamu besar dari 1 hingga 3 November termasuklah program sisipan yang telah berlangsung pada 25 Oktober lalu,” jelas beliau.

Antara ikon seni dan budaya Daerah Kota Belud.
Suntikan Impak Besar Pulangan Peniaga
Dengan kolaborasi berkenaan, Rosnan yakin penglibatan MOTAC mampu menyuntik impak yang lebih besar dalam jumlah pulangan para peniaga kecil serta pengusaha inap desa.
“Mungkin kita anggap program seni budaya tidak mendatangkan hasil tetapi kita lihat ekonomi masyarakat akan meningkat.
“Begitu juga dengan motel-motel di sekitar Kota Belud dan juga homestay. Ia dikira sebagai impact dan pulangan kepada program seperti ini.
“Kita harap program Tamu Besar Kota Belud ini dapat menarik lebih kurang RM30,000 ataupun lebih mungkin sehingga RM250,000 pulangan kepada pengusaha kraf ataupun jualan kepada pengusaha-pengusaha dan usahawan kecil,” ujar beliau.
Tambahnya, program terbabit turut melibatkan 52 agensi persatuan dan pengusaha peroduk seni budaya dan kraf, di samping titik sentuhan berupa mural dan doodle disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Tinjauan mendapati, antara produk yang menjadi tumpuan ialah parang yang dihasilkan oleh golongan yang pakar dan mewarisi kemahiran dari generasi ke generasi.
Meski para peniaga enggan berkongsi jumlah sebenar pulangan perniagaan masing-masing, keceriaan dan senyuman mereka sahaja sudah cukup melegakan.
Parang Warisan Bangsa
Peniaga parang, Francis Pang, 70, dari Kampung Tombol bersama rakannya, Said Soh, 65, dari Kg Siasai Jaya berkata parang yang dihaslikan kebanyakannya daripada besi atau spring absorber kereta dan bentuk dan saiz pula bergantung kepada kegunaan parang.
Parang dilengkapi dengan hulu dan sarung yang diperbuat daripada akasia, kayu malam, kayu nangka, harimau hitam dan tanduk kerbau.
Selain parang, Francis juga menjual pelbagai saiz keris, kerambit, pedang, pisau dan sebagainya malah ada yang sudah ditempah lebih awal mengikut citarasa pelanggan.
Turut laris di pasaran, produk kraf tangan seperti ‘tepo’ atau tikar mengkuang, tudung duang, bakul pelbagai saiz dan bentuk, tidak kurang juga kain selempang dan selendang Bajau.

Aina ketika memasak kuih penjaram.
Warna Warni Seni AnyamanĀ
Mewarisi bakat menganyam bakul daripada ibu, Jailan Preeh, 49, dari Kampung Pangkalan Abai mula berjinak dengan anyaman seawal usia 12 tahun.
Kini, ibu kepada lima anak itu merupakan salah seorang usahawan yang berjaya menjadikan hobi sebagai penjana pendapatan keluarga.
“Ada juga yang order dan dijual di luar negara, tapi yang banyak di pasaran Kota Kinabalu, di 1Borneo pun ada tu dan beberapa daerah.
“Bakul, tepo, tudung duang dan kotak telur ni guna daun serdang. Daun ni tumbuh liar di hutan Kota Belud, direbus dulu baru jemur di bawah matahari lepas itu diwarnakan,” ujarnya.
Penjaram Sinonim Dengan Kota Belud
Sebut saja penjaram yang paling enak, pasti terbayang Kota Belud. Jadi, tidak hairanlah jika kuih tradisi itu menjadi buruan kebanyakan para pelancong khususnya dari luar daerah.
Penjual, Aina Sari Jjamatal, 35, dari Kampung Merabau mengakui kuih penjaram yang dijual dengan harga RM2 lima biji laku sejak awal pagi memaksa dia tidak cukup tangan untuk melayan pelanggan sambil memasak menggunakan kualai lejen.
Keunikan Motif, Corak Selempang dan Selendang
Kota Belud merupakan satu-satunya daerah yang menghasilkan selepang dan selendang Bajau dengan motif dan corak yang menarik dan pilihan warna yang segar.
Para pengunjung membelinya sama ada untuk dipakai ataupun dijadikan sebagai hadiah dan cenderamata kepada orang tersayang.
Wariskan Seni, Budaya Kepada Generasi Akan Datang
Tamu Kota Belud yang dahulunya dikenali sebagai Tamu Tempasuk, dilaporkan telah bermula sejak 13 Disember 1878 sekali gus sebagai tamu tertua di negeri ini.
Paling penting, kerjasama daripada semua pihak baik jabatan serta agensi kerajaan, persatuan budaya dan penduduk tempatan perlu terus diperkasa demi mengekalkan warisan bangsa kepada generasi akan datang ibarat pepatah Bajau, “mangan nia mangan asal kurung-kurung”. -PENERANGAN-