Gambar fail
RANAU: Majlis Daerah ini (MDR) serius mewujudkan pekan Ranau sebagai antara ‘Pekan Paling Bersih’ di Sabah memandangkan pekan itu antara lokasi pelancongan utama di negara ini malah peringkat Antarabangsa.
Pekan Ranau perlu sentiasa bersih, indah dan ceria bukan sahaja cantik dipandang mata malah selamat untuk dikunjungi.
Pegawai Daerah Ranau selaku Pengerusi MDR, Jumain Abdul Ghani, berkata, kebersihan pekan Ranau dan Kundasang perlu dijaga dengan kerjasama semua pihak dan bukan menuding jari hanya kepada pihak MDR atau Pihak Berkuasa Tempatan(PBT).
Jumain menyatakan demikian ketika mempengerusikan
Mesyuarat Jawatankuasa Pengindahan dan Kebersihan Pekan Ranau di Bilik Mesyuarat MDR baru-baru ini.
“Kita akan melancarkan Kempen Pengindahan Pekan dalam masa terdekat ini, bagi memberikan kesedaran kepada umum betapa pentinya menjaga kebersihan secara menyeluruh”,tegas Jumain.
Sempena mesyuarat itu, Pegawai Eksekutif MDR, Jupirin Bin Haji Ruhimin telah membentangkan Kertas Konsep Kempen Pengindahan dan Keceriaan daerah Ranau disekalikan dengan Kempen Pengibaran Jalur Gemilang peringkat daerah Ranau 2022.
Menurutnya, sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat daerah Ranau bulan Ogos tahun ini semua pemilik premis perniagaan, bangunan-bangunan Pejabat kerajaan Negeri, Persekutuan, Swasta, bangunan Penginapan Inap Desa, Hotel-Hotel Penginapan dan bangunan rumah kediaman persedirian digalakkan supaya mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kesyukuran dan penghormatan atas kejayaan negara menikmati keamanan dan keharmonian sejak mencapai kemerdekaan.
Jumain dan Jupirin menyeru warga Ranau supaya mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Ogos sehingga sambutan Hari Malaysia bulan September depan sebagai bukti sokongan bagi memeriahkan suasana sambutan bulan Kemerdekaan tahun ini.
“Kita mengharapkan lapisan masyarakat di daerah ini tanpa membezakan suku kaum, agama, budaya dan idologi politik supaya menyahut arahan kerajaan agar mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi suasan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini”, jelas Jumain.

Antara yang hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pengindahan dan Kebersihan pekan Ranau.
Menurutnya, pelbagai program telah dirancang untuk dilaksanakan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat daerah Ranau tahun ini termasuklah, pertandingan Perarakan Kereta Berbias, Perbarisan Kontinjen Sekola Rendah, Sekolah Menengah, Jabatan kerajaan Negeri, Persekutuan dan Swasta yang tarikh dan lokasinya akan ditentukan pada mesyuarat akan datang.
“Saya berterima kasih di atas kehadiran semua ke mesyuarat kali ini dan mengharapkan lebih ramai lagi yang hadir pada mesyuarat yang tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.
“Kita merakam penghargaan dan terima kasih atas kehadiran mantan Pengarah DBKK, Datuk Dr.Chua Kim Hing yang telah memberi banyak panduan terhadap usaha-usaha mengindahkan pekan terutama membimbing masyarakat agar tidak membuang sampah-sarap di merata tempat.
Hadir sama ialah, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, PPM Paginatan Mohd.Hisyamuddin Bin Harun, PPM Karanaan, Rosdie Bin Abd.Ghani, PPM Kundasang, Dounis Sany, PengerusiJKDB pekan Ranau, Tan Eng Sing, Ketua-Ketua dan wakil ketua Jabatan Kerajaan Negeri-Persekutuan serta Swasta.



