25 C
Kota Kinabalu
Selasa, November 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ranau Fun Map Digital selangkah kehadapan dalam industri pelancongan Sabah

Jonathan (tengah) melakukan gimik pelancaran program

RANAU: Daerah ini menjadi daerah pertama di Sabah di mana teknologi Augmented Reality (AR) dalam pelancongan, dikenali sebagai Fun Map Digital, dilancarkan di sini pada Khamis.

Dengan adanya teknologi ini, ia diharapkan dapat memudahkan pelancong mendapatkan maklumat secara terus mengenai tempat-tempat pelancongan di Ranau, dengan hanya mengimbas Kod QR yang disediakan.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin memuji Persatuan Pelancongan Ranau (RATA) dan Tourism Malaysia Sabah atas inisiatif memperkenalkan teknologi baharu peta pelancongan Ranau dalam bentuk AR itu.

“Ini adalah salah satu contoh usaha sama yang baik antara persatuan tempatan bersama agensi kerajaan, yang berusaha memperkasakan lagi industri pelancongan di Ranau khususnya.

“Hubungan profesional seperti ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan lain.

“Dengan penglibatan masyarakat setempat, hasrat dan keperluan pengusaha pelancongan dapat difahami sepenuhnya oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Jonathan berkata demikian ketika berucap merasmikan program pelancaran Ranau Fun Map Digital di Hotel Kundasang Perkasa pada Khamis.

Sementara itu, beliau berkata dengan penglibatan seperti ini, pengusaha pelancongan dan industri berkaitan akan lebih memahami hala tuju, misi dan visi negara dalam mencapai kemakmuran ekonomi di peringkat global.

“Walaupun Ranau dikategorikan sebagai luar bandar, ia berpotensi berdiri setanding dengan pusat peranginan terkenal seperti Cameron Highlands atau luar negara contohnya di Bandung, Indonesia dan juga beberapa tempat pelancongan di Thailand.

“Kita mempunyai banyak kelebihan di mana Gunung Kinabalu akan diiktiraf sebagai Geopark Global oleh UNESCO yang mempunyai 11 nilai universal secara rasmi pada tahun hadapan.

“Justeru, dengan pengiktirafan ini kita perlu memelihara keindahan dan kekayaan alam semula jadi dan pada masa sama kita harus bijak berintegrasi tanpa merosakkan sistem eko ​​sedia ada,” katanya.

Selain itu, Jonathan berkata adalah amat penting bagi pengusaha pelancongan di Ranau untuk terus meneroka ilmu dan peluang baharu yang boleh diketengahkan khususnya di Ranau.

Jonathan (duduk tengah) dan yang lain dalam pelancaran Peta Digital Ranau

“Seperti semua sedia maklum, Kundasang – Ranau merupakan destinasi wajib dikunjungi pelancong tempatan mahupun luar negara, apatah lagi pada musim cuti sekolah. Kenderaan berpusu-pusu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan cuba sedaya upaya menangani aduan ini demi kebaikan bersama,” katanya.

Jonathan menyokong penuh hasrat RATA bersama-sama Pejabat Daerah untuk mewujudkan Pusat Maklumat Pelancongan dalam masa terdekat, agar pelancong asing dapat singgah dan mendapatkan maklumat yang mencukupi mengenai produk pelancongan di Ranau.

“Pusat info ini juga merupakan alat pemasaran yang penting kepada ahlinya dan pengusaha pelancongan lain. Saya berharap dengan adanya teknologi AR ini, saya sedikit sebanyak dapat membantu pelbagai ahli perniagaan dan pelancong khususnya dalam memperkenalkan Ranau kepada dunia luar,” katanya.

Turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Ednie Rahma, Presiden RATA, Malvin Marcus, Penolong Pegawai Daerah Ranau, Norfareha, dan pemain pelancongan dari seluruh Ranau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN