29.1 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Rakyat Ranau akur perlaksanaan ‘Total Lockdown’

Oleh: Jainuddin Nasir

RANAU: Rakyat kawasan Parlimen P.179 di sini, menyokong penuh dan menyambut baik terhadap keputusan kerajaan melaksanakan ‘Total Lockdown’ selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 1 Jun hingga 14 Jun untuk membendung peningkatan jangkitan Covid-19 seluruh negara.

Timbalan Menteri II, kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia,  YB.Jonathan Yasin berkata, rakyat tanpa mengira suku kaum, agama, budaya dan idologi politik, harus akur dan mematuhi segala langkah dan inisiatif kerajaan dalam membendung jangkitan  Covid-19 yang kini turut membimbangkan masyarakat antarabangsa.

Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau menegaskan, rakyat negara ini perlu menyokong usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Saya mengajak rakyat khususnya kawasan Parlimen Ranau meliputi DUN Kundasang, DUN Karanaan dan DUN Pagintan supaya mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang diumumkan kerajaan memandangkan jangkitan Covid-19 dalam negara ketika ini masih menunjukkan  peningkatan dan harus dibendung.

“Perkara ini perlu dititik beratkan oleh lapisan masyarakat dan mengambil segala langkah yang perlu seperti mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan agar pandemik Covid-19 dapat dihentikan dan diputuskan”, jelas Jonathan ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, berjaya atau tidaknya rancangan dan usaha kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19 dalam  negara ini bergantung kepada komitmen takyat itu sendiri, sama ada patuh kepada rancangan yang dibuat kerajaan atau tidak.

“Kita tidak boleh mengambil mudah pandemik Covid-19 yang melanda negara ini kerana ianya satu masalah yang nyata dan semakin bertambah jumlah yang dijangkiti  dan yang mati akibatnya, dan jika tidak dibendung sepenuhnya maka ia mempunyai kesan negatif yang lebih besar terhadap kelangsungan  hidup generasi masa ini dan akan datang.

“Memang ramai penduduk yang terjejas dan terkesan dari sudut ekonomi dan sebagainya akibat daripada pelaksanaan PKP Penuh ini, namun kita semua mesti bersabar, tabah hati serta tenang dalam menghadapi kerumitan yang timbul.

“Pihak kerajaan juga berusaha keras  untuk membantu rakyat semasa PKP Penuh ini,  dan pelbagai strategi bagi memastikan beban hidup rakyat dapat dikurangkan”, tambah Jonathan.

             

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN