24.9 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mei 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Rakyat disaran tidak memandang remeh SOP membendung penularan wabak Covid-19

JAHID Menyerahkan bakul hadiah Krismas itu kepada Dr. G Mohan yang mewakili Hospital Daerah Tuaran sambil disaksikan pemimpin lain yang hadir.

TUARAN: Rakyat disaran untuk tidak memandang remeh prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan wabak Covid-19 tetapi mengambil iktibar keadaan masa kini yang tidak lagi seperti dahulu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, keingkaran masyarakat untuk mematuhi SOP hanya akan mendedahkan diri mereka kepada bahaya dan risiko jangkitan virus Covid-19.

“Janganlah kita amalkan SOP secara ala kadar kerana itu bukan hanya memberi masalah kepada diri kita sendiri tetapi juga kepada para petugas barisan hadapan (frontliners),” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis Penyerahan Hadiah Krismas Untuk Frontliners KKM di perkarangan lobi Hospital Daerah Tuaran, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Tuaran, Dr. G Mohan, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, PPM Tamparuli Madin Anak, dan Setiausaha Perhubungan Kepada Menteri KPLBS, Romeo Sindeh dan para pemimpin masyarakat Tamparuli.

Katanya, rakyat perlu bersyukur kerana masih diberi kehidupan sehingga hari ini disebabkan mereka sentiasa mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Kita masih hidup bukan sahaja kerana kita mengikuti SOP, tetapi juga kerana kita dikurniakan frontliners dalam kalangan kakitangan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjaga kita siang dan malam,” katanya.

Mengenai sumbangan kepada frontliners pula, katanga semua itu sekadar tanda ucapan terima kasih kepada para petugas hospital yang tentu sekali tidak mampu mengimbangi atau menyamai sumbangan mereka kepada masyarakat.

“Ini hanya sumbangan kecil kita kepada pihak hospital yang setiap hari bergelumang dengan ancaman-ancaman virus Covid-19, mujurlah adanya mereka dan syukur mereka masih diberi kekuatan untuk menjaga kita semua,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berterima kasih kepada pihak KKM dan seluruh petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan rakyat terpelihara.

Terdahulu Pengarah Hospital Tuaran, Dr G Mohan berkata, masyarakat kini perlu menyesuaikan diri dalam arahan-arahan dunia yang baharu termasuk juga kehidupan dalam norma baharu.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah wakil penerima dari Hospital Tuaran, Klinik Kesihatan Tamparuli, Klinik Kesihatan Tenghilan, dan wakil dari Sedafiat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN