JAMES (tengah) mengadakan sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Beluran pada Rabu, bersama ketua-ketua jabatan dan agensi
BELURAN: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) akan memusatkan semua masalah logistik yang dihadapi pihak berkuasa dalam menghadapi banjir bagi melancarkan lagi operasi mereka di masa hadapan.
Menteri KPMKR Datuk James Ratib berkata bahawa masih terdapat banyak masalah serta kekurangan yang dihadapi oleh pihak berkuasa yang bertugas menghadapi banjir di seluruh negeri ketika ini.
“Semasa siri lawatan saya terhadap kawasan-kawasan yang dilanda banjir, banyak masalah-masalah serta kekurangan-kekurangan yang telah dibangkitkan oleh PKOB terutama sekali daripada pengerusi-pengerusi bencana ini.
“Antara lain isu yang disebut ialah kekurangan perahu dan bot, kekurangan genset, kekangan dari segi Komunikasi, kekurangan life jacket dan sebagainya.
“Jadi saya melihat bahawa semua masalah ini bukan sahaja di satu daerah tetapi seluruh daerah yang dilawati mempunyai masalah dan kekurangan yang sama,” kata beliau.
James berkata, semua sudah sedia maklum bahawa setiap tahun negeri Sabah akan berhadapan dengan bencana banjir dan masalah serta kekurangan yang dihadapi kini akan timbul semula di kemudian hari.
“Kita mendapati, tidak ada satu badan yang bertindak dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan Perkara ini dengan membuat penambahbaikan.
“Jadi saya selaku Menteri KPMKR akan mengambilalih tugas ini dan saya akan memanggil kesemua Pegawai-Pegawai Daerah, Pengerusi-Pengerusi PKOB dan juga para pegawai jabatan-jabatan yang bertanggungjawab.
“Ini supaya, di masa akan datang, tidak ada lagi timbul persoalan tiada perahu, bot, genset, life jacket dan sebagainya, supaya apabila banjir melanda, kita sudah bersiap siaga,” kata beliau.
James yan juga ADUN Sugut berkata demikian pada hari Rabu semasa siri lawatannya ke seluruh negeri ekoran bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.
“Lawatan saya telahpun berakhir di Paitan pada hari ini di mana sebenar tadi saya telah melawat di PKOB Pejabat Daerah Telupid dan kita mendapati semua mangsa-mangsa banjir telahpun balik ke rumah masing-masing.
“Sekarang ini pihak Jabatan Kebajikan dan juga pihak pengurusan PKOB sedang meneliti wang ehsan kepada mangsa-mangsa banjir samada mereka-mereka yang telah dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ataupun mereka-mereka yang terkepung atau terjejas semasa keadaan banjir ini.
“Saya difahamkan bahawa sebentar tadi di Telupid lebih kurang 1,400 orang mangsa banjir yang memerlukan wang Ehsan RM1,000 bagi setiap orang, manakala di Beluran, yang terkesan lebih kurang 554 orang.
“Saya telahpun berbincang dengan Pengarah Jabatan Kebajikan Am Negeri bahawa kesemua penerima wang Ehsan ini mestilah diberikan pembayaran dengan secepat yang mungkin dan semua dokumen-dokumen yang diperlukan itu mestilah diselesaikan oleh PKOB daerah dan juga jambatan serta Agensi lain yang berkenaan.
“Kita mahu dokumen-dokumen yanbg berkenaan dapat dihantar ke Kota Kinabalu dengan cepat kerana masa untuk membuat pemprosesan di peringkat daerah hanya 14 hari dan saya difahamkan bahawa pada 1hb Februari, mereka ini telahpun pulang semula ke rumah,” katanya.
Menurut James lagi, ini bermakna ada lebih kurang 10 hari untuk menyelesaikan dokumen mereka untuk dihantar ke Ibu Pejabat bagu Tujuan pemprosesan pembayaran wang Ehsan.
“Untuk maklumkan, semua ini akan dibuat penyeneraian oleh Ketua Kampung dan selepas itu, ia akan diserahkan dan disemak oleh Pegawai Keselamatan kita seperti APM dan lain-lain yang telah dilantik oleh PKOB.
“Ini bagi memastikan samada mereka ini benar-benar layak dan terkesan banjir ataupun tidak, kemudian dibawa di bawah satu Mesyuarat Jawatakuasa Khas, ataupun PKOB, dan selepas disahkan, barulah dihantar ke HQ.
“Ini bukanlah proses yang senang, di mana individu suka-suka hantar nama mereka. Semua ini mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan,” kata beliau.



