25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar Universiti Malaysia Sabah positif dalam memperkasakan Kaedah PdP dalam talian dalam usaha memerangi penularan COVID-19

Oleh: DR.JURRY FOO (gambar)

Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar Universiti Malaysia Sabah. https://www.facebook.com/pkppumskk

Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah positif dalam  memperkasakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian demi memenuhi keperluan dan mencapai matlamat hasil pembelajaran  yang berkesan kepada pelajar yang mengikuti kursus kokurikulum berkredit yang ditawarkan di pusat ini. Sebagai kursus teras universiti, kursus kokurikulum berkredit memainkan peranan utama sebagai memenuhi domain pembelajaran kepimpinan dan interpersonal. Berbeza dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum tanpa kredit yang diuruskan oleh fakulti mahupun pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) iaitu merangkumi kelab, persatuan atau penglibatan dalam penyertaan sukan dan rekreasi, kursus berkredit menjadi platform pembentukan asas pelajar yang holistik sesuai denan visi dan misi universiti. Persediaan menghadapi era normal baharu mendorong PKPP untuk beradaptasi dengan perubahan semasa. Bagi tujuan tersebut persediaan menyeluruh dilakukan bukan sahaja di peringkat PKPP, melibatkan persediaan  pensyarah dan jurulatih serta pelajar tetapi juga persediaan di peringkat universiti.

Pelaksanaan PdP di PKPP menjurus kepada kuliah, projek khidmat komuniti serta program pembinaan jatidiri sebagai aktiviti utama. Ini kerana pelajar hanya mempunyai tempoh masa terhad satu semester bersama dengan pusat ini, kecuali bagi pelajar yang menyertai kursus badan beruniform. Kuliah yang dijalankan tidak berbentuk konvensional,  sebaliknya ia dijalankan secara interaktif dengan melibatkan aktiviti perbincangan, permainan dan simulasi yang lebih berpusatkan pelajar. Intipati daripada pelaksanaan kuliah adalah sebagai pengenalan kepada konsep dan falsafah kursus yang diikuti dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan kepada pelajar dan dalam bermasyarakat. Pendeknya kata, pusat ini tidak bertujuan mekahirkan atlit atau pakar bidang, tetapi lebih kepada penghayatan dan penjiwaan sesebuah bidang yang boleh memberikan manfaat. Manakala  projek khidmat masyarakat yang dijenamakan sebagai Siswa/i Prihatin (SPRINT) memberikan pendedahan kepada pelajar untuk mempelajari dan menguasai kemahiran memimpin dan kemahiran sosial secara realiti dengan bimbingan pensyarah dan jurulatih.

Operasi pengajaran dan pembelajaran

Persediaan di peringkat universiti di bawah bimbingan Timbalan Naib Canselor Akademik dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan dan kesesuaian proses PdP  dari pelbagai sudut bukan sahaja dari aspek penyampaian, tetapi juga pengukuran dan penilaian hasil pembelajaran di samping mengambil kira situasi pelajar. UMS juga menyediakan platform SmartV3 dan Sistem OBE serta memperkenalkan Tammu dalam memudahcarakan proses PdP.

 Persediaan Pusat, termasuk pensyarah dan jurulatih pula dilakukan dengan memperkukuhkan keupayaan pensyarah dan jurulatih dalam menjalankan PdP dalam talian, termasuk mesra kepada aplikasi digital dan bersedia untuk melaksanakan PdP yang lebih fleksibel sesuai dengan PdP IR4.0. Beberapa siri taklimat khusus dan perbincangan berterusan dilakukan bersama pensyarah dan jurulatih demi memastikan keberkesanan PdP. PKPP juga telah menjalankan bengkel dalaman melibatkan bahagian akademik PKPP bertujuan memperhalusi dan menambaik kurikulum bagi kursus kokurikulum berkredit.

Persediaan Pelajar pula adalah dari segi kesediaan untuk mengikuti kursus secara dalam talian. Bagi kursus yang memerlukan penglibatan pelajar dalam tempoh panjang bagi sesuatu aktiviti seperti kuliah berpusat dan kem SEJATI, PKPP ada menyediakan bantuan nilai tambah kredit telefon untuk pelajar yang terlibat.

Beberapa perubahan besar yang berlaku dalam PdP kursus kokurikulum berkredit ialah peningkatan kecelikan teknologi maklumat dan digital. PdP dalam talian di pusat ini didapati berjalan dengan lancar dan mampu menunjukkan penglibatan pelajar dan hasil pembelajaran yang boleh dibanggakan. Ini dapat dilihat melalui penampilan bakat pelajar daripada projek SPRINT yang melibatkan aktiviti seperti penganjuran ceramah, taklimat, pertandingan, persembahan, bengkel, pengutipan dana amal, penghasilan inovasi dan khidmat bakti serta banyak lagi aktiviti menarik. Di samping itu penganjuran mini karnival Baktisiswa secara dalam talian telah mencungkil bakat pelajar dari pelbagai aspek termasuk seni, budaya dan penyampaian. Penglibatan pelajar dalam pertandingan peringkat antarabangsa melakui PKPP juga merupakan hasil daripada penggunaan platform digital yang membuka ruang pembelajaran yang lebih luas dan melangkaui sempadan antarabangsa. Oleh itu, PKPP akan melakukan penambahbaikan PdP bagi kursus kokurikulkum berkredit secara berterusan agar terus relevan dalam sistem Pendidikan secara menyeluruh.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN