Oleh: Cleo Will
RANAU: Masyarakat di daerah ini digesa agar terus memupuk perpaduan di kalangan mereka meskipun hidup dalam agama, budaya dan adat yang berbeza supaya keharmonian dapat dikekalkan.
Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin berkata salah satu amalan yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat di sini ialah budaya mengunjungi satu sama lain, terutamanya semasa perayaan-perayaan yang disambut di negara ini.

“Salah satu perayaan yang menjadi platform perpaduan adalah perayaan Tahun Baru Cina. Melalui perayaan ini, kita dapat melihat bahawa bukan sahaja orang Cina meraikan, tetapi turut diraihkan oleh mereka dari kaum dan agama lain.
“Perayaan ini disambut setiap tahun di sini dan juga dirayakan oleh seluruh masyarakat setempat. Bukan itu sahaja, tetapi perayaan keagamaan seperti Krismas dan Hari Raya juga disambut bersama dengan penuh gembira,” katanya.

Jonathan yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia berkata demikian semasa Walkabout Tahun Baru Cina pada hari Rabu di mana beberapa penyokong termasuk anggota parti dari Keadilan, UPKO dan Warisan mengambil bahagian dalam melawat masyarakat serta pemilik kedai di sekitar kawasan pekan Ranau.
Sementara itu, Adun Paginatan Datuk Abidin Madingkir berkata, “Program hari ini adalah satu aktiviti yang kami anjurkan setiap tahun untuk melawat masyarakat tempatan sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya.
Abidin yang juga Naib Presiden UPKO Nasional berkata, ini adalah acara yang sangat baik kerana ia dapat merapatkan hubungan antara ahli parti dan komuniti di sekitar Ranau untuk saling menghormati perayaan masing-masing.

“Sudah menjadi kebiasaan bagi kita mengamalkan toleransi antara etnik dan agama dan kita saling mengunjungi sekiranya ada perayaan pada musim Krismas, Hari Raya dan sudah tentu semasa Tahun Baru Cina.
“Inilah sikap toleransi yang harus kita jaga dan kita sebagai pemimpin juga harus memimpin negara kita ke arah toleransi antara masyarakat kaum dan agama,” katanya.

Turut menyertai walkabout itu ialah Presiden Persatuan Hakka Ranau merangkap Kapitan Cina DUN Paginatan, Datuk Jimmy Tham Yuk Leong, Setiausaha Politik MP Ranau Benedict Gunda, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Lajim Hj Momen, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Paginatan (PPM) Hishamuddin Harun, PPM Karanaan Awasi Ghanie, PPM Kundasang Siriman Basir dan lain-lain. –TAMAT–