Jonathan menyampaikan Sijil Anugerah kepada salah seorang penerima diperhatikan Fairuzulfikar (kiri).
RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyeru para ibu bapa dan guru supaya memupuk kerjasama, perpaduan dan permuafakatan bagi meningkatkan prestasi pembelajaran anak-anak bermula peringkat awal persekolahan.
Menurutnya, kerjasama erat dikalangan guru-guru dan ibu bapa boleh membantu mencapai kecemerlangan anak-anak dalam aspek pembelajaran peringkat awal terutama kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (3M).
“Itulah asas yang amat penting dikuasai diperingkat awal kanak-kanak selain pendedahan terhadap disiplin serta sahsiah diri yang terbaik”, jelas Datuk Jonathan ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi melibatkan 533 orang kanak-kanak dari 6 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan dari 92 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Kemas, Kawasan Parlimen P.179 Ranau yang telah menerima anugerah berupa Sijil sempena majlis itu di Dewan Masyarakat Ranau pada Khamis.
Majlis tersebut turut dihadiri Penyelia Kemas Ranau, Fairuzufikar Badsyah Bin Mohd. Husin.
Datuk Jonathan menyifatkan majlis Apresiasi itu sebagai suatu penghargaan dan pengiktirafan kejayaan kanak-kanak dalam mengikuti pembelajaran mereka dalam tempuh tertentu sebagai asas persediaan sebelum melangkah masuk ke alam persekolahan sebenar (Tahun 1) di Sekolah Kebangsaan(SK) kelak.
“Kanak-kanak yang telah menamatkan Pembelajaran Asas itu, akan meneruskan pembelajaran mereka apabila melangkah masuk ke alam persekolahan sebenar.
“Melalui kemahiran 3M itulah asas anak-anak untuk maju cemerlang persekolahan mereka sehinggalah ke peringkat tinggi atau universiti”, tegas Datuk Jonathan.
Menurutnya lagi, kelemahan anak-anak menguasai 3M adalah antara faktor berlakunya kegagalan dan keciciran.
“Justeru kerjasama antara ibu bapa dan guru perlu diletakkan sebagai satu keperluan dan kepentingan bersama demi kejayaan pembelajaran sekaligus menempah kecemerlangan anak-anak dalam kehidupan masa depan mereka”, tambah Datuk Jonathan.
Turut berucap mewakili warga pendidikan Kemas Ranau ialah, Fairuzulfikar Badsyah dan dihadiri Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda bersama beberapa orang Staf Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, para Kakitangan Kemas daerah bersama ribuan ibu bapa dan guru-guru Tadika-Tabika Kemas Ranau.