28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PTPTN anjur Program Didik Simpan SSPN 2022

Jonathan menyerahkan bantuan pembukaan Akaun Simpanan SSPN Prime Save kepada salah seorang penerima dalam majlis itu

RANAU: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menganjurkan Program Didik Simpan SSPN 2022, peringkat Parliamen Negeri Sabah dalam satu majlis yang diadakan di sini pada Sabtu.


Majlis yang turut dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri II Dalam Negeri, merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.


“Program Didik Simpan SSPN 2022 melibatkan sumbangan zakat kepada 6,400 pelajar Asnaf di 128 kawasan terpilih di beberapa negeri. Ia diberikan dalam bentuk Akaun Simpanan SSPN Prime melibatkan jumlah peruntukan RM640,000.


“Bagi negeri Sabah, program itu melibatkan 25 kawasan dengan jumlah sumbangan RM125,000. Ini bermakna, seramai 50 pelajar Asnaf di setiap kawasan akan menerima Sumbangan Akaun Simpanan SSPN Prime sebanyak RM100 seorang.


“Program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Sabah (KEMAS) itu melibatkan peruntukan RM5,000 bagi setiap kawasan,” kata Jonathan.


Dalam majlis itu, sejumlah RM45,000 telah diagihkan bagi kawasan berkenaan yang meliputi Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Sepanggar, Ranau, Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.


“Saya melihat program seumpama ini pastinya memberi manfaat kepada masyarakat dalam membantu meringankan beban kewangan mereka yang memerlukan. Ini bukti PTPTN komited dan prihatin dalam membantu dan menyokong masyarakat dalam memartabatkan pendidikan,” katanya.


Tambah Jonathan, sememangnya Kerajaan Negeri Sabah sentiasa prihatin dan proaktif membantu rakyat dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk di sini.


“Kerajaan juga percaya bahawa peranan ibu bapa sangat penting untuk memastikan masa depan anak-anak, di mana mereka boleh mengubah kehidupan keluarga mereka melalui perancangan kewangan dan pendidikan yang komprehensif,” katanya.


Jonathan berterima kasih kepada Wan Saiful kerana bersama-sama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program itu dan bekerjasama menggalakkan amalan menabung pada usia awal untuk tujuan pengajian tinggi.


“Ke arah itu, saya menyeru agar semua agensi kerajaan di negeri ini yang bertanggungjawab melaksanakan program ini turun padang dan memperhebatkan usaha menyebarkan program ini kepada rakyat Sabah.


“Kita bersyukur kerana kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan PTPTN telah pun terjalin melalui pelancaran Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (BISTARI) sebelum ini.


“Ini adalah inisiatif murni Kerajaan Negeri Sabah dalam memupuk budaya menabung pada usia yang lebih awal,” kata Jonathan.


Menerusi inisiatif itu, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri untuk diberikan kepada bayi yang lahir di negeri ini bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2022, di mana sumbangan itu akan diberikan dalam bentuk Simpanan SSPN Prime dengan jumlah RM100 bagi setiap orang.


Sementara itu, menyentuh mengenai Simpanan SSPN Prime, Jonathan berkata, ternyata rakyat Malaysia boleh meraih begitu banyak manfaat melalui instrumen simpanan ini.


“Paling menarik, dengan pembukaan Akaun Simpanan SSPN Prime, pendeposit boleh menikmati dividen yang sangat kompetitif. Perlindungan Takaful percuma (dollar to dollar) dan pemberian sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak.


“Produk ini juga patuh Syariah dan dijamin Kerajaan. Sebab itu, pada pendapat saya, peluang simpanan melalui Simpanan SSPN Prime harus dimanfaatkan sebaiknya oleh semua ibu bapa dalam perancangan kewangan untuk pendidikan anak-anak.


“Berjimatlah sejak kecil supaya kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman untuk pembelajaran anak-anak di menara gading nanti.


“Jangan kita nafikan hak anak kita untuk berjaya kerana kesusahan yang kita alami sekarang. Buat sumbangan, ini adalah permulaan untuk kita berjimat,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN