24 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Projek WASH beri kelegaan bekalan air bersih kepada ratusan penduduk kampung

Abidin dan yang lain menghidupkan paip untuk bekalan air bersih dalam acara tersebut


RANAU: Ratusan penduduk di Kg Tudangan dan Kg Lipoi Ranau dapat menarik nafas lega selepas Program Water Sanitation and Hygiene (WASH) yang merupakan Program Komuniti anjuran Kelab Rotary Kota Kinabalu (KK) Pearl berjaya dilaksanakan di sini.


Majlis perasmian projek bekalan air dan sanitasi WASH di kedua-dua buah kampung itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.


Dalam ucapannya, Abidin yang juga Adun Paginatan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Kelab Rotary KK Pearl dalam menjayakan projek tersebut.


“Kita bersyukur atas sumbangan Rotary Club yang merangkumi satu kelab antarabangsa yang mempunyai ahli lebih 1.4 juta di seluruh dunia, di mana tumpuan mereka adalah untuk memberi khidmat kemasyarakan kepada kumpulan sasar.


“Projek WASH sudah melaksanakan 18 projek kemasyarakan di seluruh Sabah yang melibatkan kos lebih RM800 ribu,” katanya.


Tambah beliau, projek air dan sanitasi di kedua-dua kampung ini adalah projek bersama Rotary Club of KK Pearl, Rotary Club of Likas Bay, Rotary Club Bandar Seri Begawan dan Rotary Club of Changi.


Projek ini turut dapat dijayakan kerana mendapat Kerjasama Bersama Pertubuhan Komuniti ELITE dan ditaja oleh The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints.


“Bagi pihak penduduk Kg Tudangan dan juga Kg Lipoi, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas tajaan sehingga siapnya projek WASH di kedua kampung tersebut.


“Syabas dan tahniah kepada Rotary Club of KK Pearl dan juga penaja utama Projek, Malaysian Church of Jesus Christ of Latter Day Saint kerana sentiasa proaktif dalam menjalankan projek kemasyarakatan,” katanya.


Tambah beliau lagi, sekurang-kurangnya projek ini dapat diselesaikan dan juga membantu penduduk yang sering dilanda masalah air samada musim hujan atau musim kemarau.


Menurut Abidin, ia juga sedikit sebanyak dapat membantu wakil rakyat dan kerajaan untuk mengatasi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih dan mampan.


Justeru, beliau mencadangkan supaya program seperti ini diperluaskan ke kampung-kampung terpencil di DUN Paginatan seperti Kg Walou dan Kg Panulangon.
“Sebagai wakil rakyat saya memberi sokongan penuh kepada Rotary club untuk menjalankan lebih banyak program kemasyarakan seperti ini.


“Dalam pada itu, saya juga menyeru kepada penduduk kampung supaya sentiasa memelihara sistem bekalan air graviti bersih.


“Ini kerana, kita amat maklum bahawa penduduk kampung lebih suka menggunakan air graviti berbanding air daripada paip Jabatan Air,” katanya.


Untuk rekod, Rotary Club of KK Pearl kini telah menyiapkan Projek WASH di empat buah kampung di kawasan DUN Paginatan, iaitu Kg Kinaratuan, Kg Muruk, Kg Tudangan dan Kg Lipoi.


Rakan kolaborasi Kelab Rotary KK Pearl, yang merupakan penaja utama Projek tersebut adalah Malaysian Church of Jesus Christ of Latter Day Saint yang diketuai oleh Elder Brad dan Sister Marsha Douglas.


Sementara itu, Brad, dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas usaha dan kerjasama penduduk kampung bagi menjayakan projek tersebut.


Menurutnya, dana yang disumbangkan adalah derma daripada ahli Gereja Malaysian Church of Jesus Christ of Latter Day Saint, dan pihaknya rasa diberkati kerana dapat bekerjasama dengan Rotary Club of KK Pearl.


“Kami sangat bersyukur dan senang hati melihat kesatuan penduduk kampung dalam melaksanakan projek ini,” kata beliau.


Turut hadir President Rotary Club KK Pearl, Rosie Chong; mantan Presiden Rotary Club KK Pearl, Datuk Suzanna Liaw dan Datuk Aminah Ambrose; Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling; CDO, Jipili Sigal; Pemaju Mukim Tanah Rata, Lasius Golipoi dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN