ADVERTISEMENTspot_img

Projek SULAM FKAL meningkatkan kemudahan dan keselesaan Pusat Sumber SMK Labuan

Pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan melaksanakan Projek SULAM bertajuk PatchWork of Care di Pusat Sumber SMK Labuan, baru-baru ini.

LABUAN: Pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menerusi kursus Kewangan Korporat Antarabangsa di bawah penyelarasan Dr. Suzillah Sidek telah berjaya melaksanakan Projek SULAM bertajuk PatchWork of Care di Pusat Sumber SMK Labuan, baru-baru ini.

Selaras dengan objektif utama program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), projek ini memberi penekanan kepada pemindahan ilmu mengenai crowdfunding kepada komuniti sekolah.
Mahasiswa berkongsi pengetahuan tentang konsep crowdfunding, kepentingannya sebagai kaedah pembiayaan alternatif, serta langkah-langkah merancang dan melaksanakan kempen crowdfunding secara berkesan.

Pendedahan ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga sekolah tentang bagaimana platform crowdfunding boleh dimanfaatkan bagi menyokong pelbagai projek pendidikan dan pembangunan komuniti.
Sebagai aplikasi kepada ilmu yang dipelajari, kumpulan pelajar telah melaksanakan kempen crowdfunding dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM2,005. Walaupun jumlah kutipan tidak mencapai sasaran asal, dana yang diperoleh telah digunakan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan utama Pusat Sumber SMK Labuan.

Antara sumbangan yang diserahkan ialah sebuah mesin pencetak (printer), lima buah meja lipat kecil, kertas A4, kertas berwarna serta alas meja jernih sepanjang 18 meter bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pusat sumber.

Selain penyerahan sumbangan, mahasiswa bersama warga sekolah turut menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pusat sumber dan memasang alas meja jernih pada semua meja.

Aktiviti berkenaan berjaya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih bersih, selesa dan kondusif.
Projek ini diketuai oleh Mohd Shazairee selaku Pengarah Projek bersama ahli kumpulan iaitu Anne Roza, Daffenie Joyce, Iny Audry, Allynesa Shirlyana, Fressnica Jachinta, George Chia Zhen dan Nur Atiqah.

Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Sumber SMK Labuan sebagai komuniti sasaran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai rakan kolaborasi.
Pelaksanaan Projek SULAM ini membuktikan bahawa pemindahan ilmu yang digabungkan dengan pembelajaran berasaskan pengalaman mampu memberi manfaat kepada komuniti.

Melalui perkongsian pengetahuan mengenai crowdfunding dan pelaksanaan kempen sebenar, pelajar bukan sahaja mengaplikasikan teori yang dipelajari di universiti, malah membantu meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kaedah pembiayaan alternatif yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan komuniti pada masa hadapan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN