ADVERTISEMENTspot_img

60 Mantan Pegawai Kanan Kerajaan Dirai Dalam Majlis Ramah Mesra

Kelihatan sebahagian mantan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri mengambil kesempatan untuk bersalaman bersama-sama dengan Tun Musa sejurus sesi bergambar.

KOTA KINABALU : Seramai kira-kira 60 mantan pegawai kanan kerajaan negeri diraikan dalam Majlis Ramah Mesra Mantan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sabah bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Dewan Seri Kinabalu, Istana Seri Kinabalu di sini, pada Sabtu.


Setiausaha Perhubungan kepada Yang di-Pertua Negeri, Datuk Abdullah Hussin berkata, majlis yang diilhamkan sendiri oleh Tun Musa itu diadakan bagi menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan pegawai kanan kerajaan negeri yang pernah memainkan peranan penting dalam pentadbiran serta pembangunan Sabah.  


Jelas Abdullah, khidmat bakti yang dicurahkan oleh mereka telah menyumbang kepada kejayaan pentadbiran dan pembangunan negeri, sekali gus menjadi legasi yang diteruskan oleh generasi baharu dalam perkhidmatan awam. 


Menurut beliau, walaupun sebahagian daripada mantan pegawai tidak dapat menghadiri majlis itu, jasa dan sumbangan mereka tetap dikenang serta dihargai atas komitmen dan dedikasi yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.


Beliau yang mewakili Istana Seri Kinabalu berkata, penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja mengeratkan semula hubungan silaturahim antara Tun Musa dan mantan pegawai kanan kerajaan negeri, malah mencerminkan penghargaan berterusan institusi kepimpinan negeri terhadap individu yang pernah menjadi tonggak pentadbiran Sabah.


Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu dimulakan dengan sesi bergambar bersama Tun Musa sebelum diteruskan dengan bacaan doa selamat oleh Pegawai Agama Istana Seri Kinabalu, Ustaz Zulfawzi Awang Besar dan jamuan makan tengah hari dengan iringan muzik daripada Kombo PDRM Kontinjen Sabah.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah, Datuk Zainudin Aman; Mantan SKN ke-8, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah serta mantan pegawai kanan kerajaan negeri antaranya Datuk Seri Panglima Ilyas Ibrahim, Datuk Noni J. Said, Datuk Maznah Abdul Ghani, Datuk Asnimar Sukardi, Datuk Gregory Joitol dan Datuk Gabriel William./Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN