Dr Zaliha ketika diberikan taklimat mengenai perancangan projek Labuan Water Front oleh Ag Aizal.
LABUAN: Cadangan Projek ‘Labuan Water Front’ yang dianggarkan bernilai RM38 juta bukan saja mampu melonjakkan ekonomi Labuan tetapi juga merangsang daya tarikan pelancong untuk terus berkunjung ke pulau bebas cukai ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata projek yang akan dibangunkan di kawasan Victoria Hobour Beach berdepan dengan pasar awam lama Labuan itu mampu merangsang pelaburan dan merancakkan semula ekonomi dan sektor pelancongan Labuan.
“ Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk merealisasikan visi ‘ Chase City’ di bawah Rancangan Tempatan Labuan 2040 sejajar dengan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan Labuan 2030 yang akan melonjakkan kepada pelancongan pintar, bandar hijau dan selamat rekrasi awam” katanya kepada media selepas meninjau projek tersebut, pada Isnin.
Terdahulu sebelum itu beliau telah diberikan taklimat mengenai projek berkenaan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan, Perbadanan Labuan, Ag. Faizal Ag. Anak.
Jelas Zaliha, inisiatif pembinaan projek berkenaan akan dibiayai di Bawah Rancangan Malaysia ke 13 (RMK13) melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kerja Raya, bersama persatuan berkaitan pelancongan dan pihak swasta.
Antara komponen yang terdapat dalam projek itu termasuk lah ruang rekreasi, pengalaman gastronomi ( makanan, budaya dan tradisi), tempat untuk perhimpunan, acara awam, bazaar makanan, aktiviti sukan laut, persiaran pencahayaan estetik dan tempat letak kereta.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai Dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Sukuran Mohd Taib.