Zafri, Zawahir dan lain-lain bergambar di hadapan Projek Air Bersih Etiqa di Tuaran
TUARAN: Lebih 300 penduduk Kampung Lentuong, Tuaran kini menikmati bekalan air bersih yang berterusan dengan siapnya Projek Air Bersih Etiqa, sebuah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Etiqa dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).
Terletak di Pantai Barat Sabah, Kampung Lentuong dihuni oleh lebih 50 keluarga yang tinggal di rumah atas air di sepanjang pesisir bakau Teluk Mengkabong yang membentang kira-kira 2.4 kilometer.
Majlis perasmian dan penyerahan Program Air Bersih ini telah disempurnakan oleh Zafri Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, dan Zawahir Abdullah, Presiden Islamic Aid Malaysia.
Majlis tersebut diadakan di Surau Komuniti Kampung Lentuong, Tuaran, dan turut dimeriahkan dengan kehadiran penduduk kampung.
Sebelum ini, penduduk Kampung Lentuong bergantung kepada sumber air bukit yang tidak dirawat sebagai bekalan utama kerana ketiadaan jaringan paip air.
Ketika musim kemarau, saiz tadahan air yang kecil serta tekanan air yang rendah menyebabkan air menjadi keruh dan hanya sesuai digunakan untuk mandi serta membasuh pakaian.
Keadaan ini turut menjejaskan pendapatan penduduk, terutamanya nelayan yang memerlukan air bersih untuk kegunaan harian dan aktiviti komersial.
Bagi meningkatkan taraf hidup penduduk, Etiqa membiayai sepenuhnya projek pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur air bersih ini, yang dilaksanakan bersama Islamic Aid Malaysia.
Projek ini merangkumi; Penaiktarafan dua unit tandak sedia ada untuk menakung air dari bukit berhampiran dan Penambahbaikan sistem saluran paip dari tandak ke rumah, termasuk pemasangan 47-unit pam air elektrik.
Selain itu ia juga melibatkan Pembinaan Rumah Pam baharu yang lengkap dengan dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 gelen serta sistem penapisan air membran sintetik Air dari punca tadahan disalurkan secara graviti ke rumah pam, dirawat terlebih dahulu, kemudian disimpan di dalam tangki sebelum dialirkan ke rumah penduduk menggunakan pam elektrik.
Selain memenuhi keperluan harian penduduk, bekalan air bersih ini turut menyokong operasi Surau kampung, Pejabat Jabatan Perikanan Negeri Sabah,
dan Aktiviti akuakultur setempat.
Projek ini turut dilaksanakan dengan semangat gotong-royong bersama sukarelawan IAM dan penduduk kampung.
Dengan pelaksanaan projek ini, peluang untuk membangunkan sektor ekopelancongan di Kampung Lentuong kini terbuka luas, sekali gus meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Pada hari yang sama, Etiqa turut menyumbang kelengkapan persekolahan kepada 200 pelajar kurang berkemampuan dari sekitar Tuaran di bawah Program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa.
Majlis agihan berlangsung di Masjid An-Nur, Tuaran, di mana setiap pelajar menerima dua set pakaian seragam sekolah, sebuah beg sekolah, sejadah, serta dua pasang kasut dan stoking.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Etiqa dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Ab. Halim berkata, “Selaras dengan komitmen Etiqa untuk Menjadikan Dunia Tempat yang Lebih Baik atau Making the World a Better Place, kami berusaha menyokong komuniti dengan menyediakan keperluan asas seperti air bersih yang dapat meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.
“Menerusi inisiatif seperti projek bekalan air bersih dan program bantuan sekolah ini, kami berharap dapat meringankan beban keluarga serta membuka peluang untuk masa depan yang lebih cerah dan mampan buat mereka,”katanya.
Zawahir Abdullah, Presiden Islamic Aid Malaysia berkata, “Islamic Aid Malaysia amat berbesar hati kerana diberi peluang bekerjasama dengan Etiqa dalam menjayakan satu lagi projek yang amat bermakna kepada penduduk di sini. Ini adalah satu bukti nyata keprihatinan Etiqa dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.”



