Sebahagian warga Labuan yang berpusu pusu untuk membeli barangan keperluan harian ketika berlangsungnya PJRM di Dewan Arena Bukit Kuda
LABUAN: Rakyat Labuan bukan sahaja menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) malah bersyukur kerana membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Keprihatinan kerajaan dalam menyediakan subsidi barangan keperluan yang memberikan harga subsidi (diskaun) 10 hingga 30 peratus adalah antara yang dinanti nantikan oleh rakyat yang sentiasa berusaha untuk menstabilkan kos perbelanjaan harian mereka.
Beberapa warga Labuan yang berpendapatan rendah dan sederhana yang ditemui menyambut baik usaha kerajaan yang komited dalam menjaga kebajikan dan kesehjateraan rakyat dengan menyediakan PJRM.
Pada masa yang sama rata rata warga Labuan yang ditemui turut berterima kasih kepada agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Labuan yang melaksanakan program ini dengan teratur, komited yang tidak hanya ditumpukan di premis perniagaan di pusat bandar tetapi juga dilaksanakan dikawasan luar bandar yang mempunyai kemudahan akses dan senang untuk dikunjungi.
Salah seorang warga Labuan yang ditemui ketika berlangsungnya jualan RAHMAH (PJRM) yang dilaksanakan di Dewan Arena Kampung Bukit Kuda baru baru ini, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan juga agensi pelaksana kerana memudahkan rakyat untuk membeli barangan keperluan harian yang lebih jimat kerana ia diadakan di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain yang ditemui ketika meninjau pelaksanaan PJRM tersebut berkata, sebanyak 148 PJRM telah dilaksanakan sepanjang tahun 2025 dan 10 daripadanya telah dilaksanakan di luar kawasan bandar seperti di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan juga di Dewan Arena Kampung Bukit Kuda.
“Sebenarnya pelaksanaan PJRM telah melebihi sasaran yang ditetapkan sekitar 80 PJRM, namun melihat kepada permintaan warga Labuan dan keperluan semasa, kita laksanakan program ini secara mingguan di beberapa premis pasaraya terpilih selain kita lebarkan ke kawasan luar bandar” katanya.
Hadir sama meninjau pelaksanaan PJRM di Dewan Arena Bukit Kuda ialah Timbalan Pengerusi Perbafanan Labuan, Simsudin Sidek.
TAMAT
Gambar :
1.Sebahagian warga Labuan yang berpusu pusu untuk membeli barangan keperluan harian ketika berlangsungnya PJRM di Dewan Arena Bukit Kuda.
2.Simsudin (dua dari kiri) bersama Junaidah (tengah) semasa meninjau PJRM di Dewan Arena Bukit Kuda



