MOHD RAFI menyerahkan sumbangan Bantuan Khas Persekolahan di Desa Tunas Hijau, pada Sabtu.
LABUAN: UMNO Bahagian Labuan akan menganjurkan Program Ziarah Kasih Ramadan dengan menyasarkan membantu 300 asnaf sepanjang bulan Ramadan ini.
Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hasaan berkata, program yang menjadi tradisi UMNO Bahagian sejak tahun 2008 itu akan membabitkan 30 cawangan UMNO.
“Kita telah menetapkan 10 keluarga asnaf terpilih setiap cawangan untuk menerima sumbangan berupa kewangan dan keperluan makanan.” katanya ketika ditemui media selepas Program Back To School dan Penyerahan Bantuan Khas Persekolahan di Desa Tunas Hijau di sini, pada Sabtu.
Mohd Rafi berkata, inisiatif Ziarah Kasih Ramadan yang akan dilaksanakan dengan turun padang menyantuni asnaf bertujuan untuk meringankan beban kewangan keluarga berkenaan khususnya pada bulan Ramadan.
“Kami akan mula menyantuni keluarga asnaf ini pada minggu pertama Ramadan hingga minggu terkahir Ramadan”, katanya.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja UMNO menjelaskan, UMNO Bahagian Labuan juga sedang bersiap sedia untuk melaksanakan Program Santunan Kasih Ramadan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dijadual pada 23 Mac depan.
Program yang menghimpunkan sebanyak mungkin rakyat Labuan itu akan diadakan di Masjid Sultan Abdullah Sungai Bedaun.



