SEMANGAT….Sammy (tengah) bersama beberapa warga kerja IPD Penampang bergambar sebelum bergerak ke program Turun Padang Ketua Polis Daerah Penampang
PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah melaksanakan ‘Program Turun Padang Ketua Polis Daerah Penampang’ ke beberapa sekolah pedalaman di sini baru-baru ini.
Inisiatif berimpak tinggi itu melibatkan tiga buah sekolah pedalaman di daerah ini, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Terian, SK Buayan dan SK Longkogungan.
Program jelajah bertemakan “Polis & Rakyat, Berpisah Tiada” telah diketuai sendiri Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton bersama lapan (8) warga kerja IPD, dibantu oleh pengangkutan pacuan roda dan pasukan NGO Support & Humanitarian Intervention For Emergency, Logistics & Defense (S.H.I.E.L.D.).

GAMBAR KENANGAN….Sammy (tengah) bersama warga kerja IPD Penampang dan sebahagian warga sekolah
Sammy ketika dihubungi media berkata, disamping menjalinkan interaksi bersama warga sekolah, pihak polis turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada sekolah, pelajar dan penduduk kampung berhampiran sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan terhadap kesejahteraan mereka.
Beliau berkata, program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara PDRM dengan komuniti luar bandar, khususnya penduduk dan warga sekolah di kawasan pedalaman.

Sammy menyampaikan sumbangan kepada murid dan penduduk kampung
“Melalui pendekatan kepolisan komuniti ini, para pelajar dan penduduk kampung diberi pendedahan awal mengenai peranan serta tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan kawasan masing-masing
“Selain itu, lawatan ini turut memberi peluang kepada pihak polis untuk menilai keperluan strategik termasuk potensi lokasi pendaratan helikopter, kecekapan sistem komunikasi dan kemudahan logistik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 yang akan datang”, katanya.
Menurut Sammy lagi, lawatan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi polis, malah memperkukuh strategi keselamatan di kawasan yang sukar diakses.

SAMMY (kanan) menyampaikan Sijil Jalinan Kerjasama kepada Guru Besar SK Longkogunan
“Ini selari dengan aspirasi PDRM untuk terus mendekati rakyat serta memperlihatkan imej pasukan polis yang lebih mesra, prihatin dan proaktif.
“Secara keseluruhan, program ini telah berjalan dengan lancar dan memberi impak positif yang besar kepada komuniti setempat serta menjadi simbol keprihatinan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab secara inklusif tanpa mengira lokasi atau kedudukan geografi masyarakat,” jelas Sammy.



