22.9 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 20, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Program Rombongan Ziarah Kasih Parlimen Ranau bawa keceriaan Krismas kepada Hospital Ranau

Helena menyampaikan sumbangan kepada salah satu kelauarga pesakit di Hospital Ranau dalam program itu


RANAU: Program Rombongan Ziarah Kasih Parlimen Ranau yang diadakan di Hospital Ranau telah memberikan keceriaan kepada kakitan serta pesakit, terutanma sekali di musim perayaan Hari Krismas tahun ini.


Rombongan tersebut diketuai oleh isteri kepada Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, Datin Helena Masry beserta rombongan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau.


Menurut Datin Helena, Program ini bertujuan untuk beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan Hospital Ranau serta memberi sentuhan kasih agar mereka turut merasa diingati dan dipedulikan dalam suasana perayaan Krismas.


“Program kita pada hari ini adalah satu tindakan dalam kita mengasihi sesama insan khususnya kepada golongan yang memerukan dan mereka yang kurang bernasib baik.


“Kita tidak seharusnya mengasihi hanya dengan kata-kata sahaja tetapi harus disertai perbuatan ataupun tindakan barulah inisiatif yang kita lakukan menghasilkan buah keceriaan dan kasih.


“Selain itu juga saya mengharapkan agar program ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pegawai dan kakitangan Hospital Ranau dan Pegawai serta kakitangan Pejabat Parlimen Ranau.


“Saya percaya ini amat penting di dalam melicinkan lagi urusan dalam pelaksanaan sebarang program bersama di masa hadapan dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.


Datin Helena berterimakasih kepada para pegawai serta kakitangan hospital ini yang telah menyambut penganjuran program tersebut dengan sangat mesra dan baik dan juga Pegawai dan kakitangan dari Pejabat Parlimen Ranau yang diketuai oleh Zita Fedelis dan teamnya yang telah mengatur program lawatan tersebut dengan jayanya.


“Saya berterimakasih dan bersyukur kerana dengan adanya program ini maka hasrat saya dan suami untuk menyantuni para warga Hospital Ranau dapat direalisasikan,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Hospital Ranau, Dr Eva Chandra Susanti Binti Suhaili berkata, beliau bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis ini walaupun ia diadakan pada hujung minggu.


Katanya, pihak Hospital Ranau menghargai inisiatif rombongan Datin Helena ke hospital ini yang bertujuan menyebarkan kasih saying, sokongan moral dan juga keprihatinan kepada para pesakit dan keluarga mereka di hospital ini.

Helena, Dr Eva dan lain-lain semasa program lawatan ke Hospital Ranau itu


“Lawatan ini juga begitu bermakna buat kakitangan hospital ini kerana ia memberikan semangat kepada kami untuk berkhidmat lebih gigih lagi, terutama sekali kepada mereka yang bertugas semasa perayaan nanti.


“Biasanya menjelang musim-musim perayaan seperti Krismas jumlah pesakit memang berkurang kerana ramai yang mahu balik ke rumah masing-masing untuk menyambut perayaan.


“Walaubagaimanapun, sebagai pihak yang menjaga perubatan para pesakit, kami sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik tidak kisah ramai atau sikitnya jumlah pesakit,” katanya.


Tambah Dr. Eva, Hospital Ranau juga sedang berusaha supaya hospital ini dapat dibangunkan dengan lebih besar lagi memandangkan ia merupakan satu-satunya hospital di Kawasan ini, dan supaya para pesakit tidak perlu lagi ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.


Turut hadir, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, Pegawai Khas kepada MP Ranau merangkap Ketua Unit Kesejahteraan Rakyat N38 Paginatan, Ivan Mario Benedict, Ketua Unit Kesejahteraan Rakyat DUN Kundasang, Jackson Musi, para kakitangan Hospital Ranau dan Pejabat Parlimen Ranau, dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN