28 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Program ‘Peduli Rakyat’  akan ditambah baik- Mohd Rafi

SERAH… salah satu aktiviti penyerahan sumbangan Beras Program Peduli Rakyat UMNO Labuan  kepada salah satu keluarga yang akan mengadakan majlis perkahwinan di Kampung Durian Tunjung baru-baru ini.

LABUAN: Program ‘Peduli Rakyat’ yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Labuan akan ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, Program Peduli Rakyat menerusi sumbangan beras kepada mereka yang bakal mendirikan rumah tangga  dan juga  keluarga  yang ditimpa musibah kematian  telah diterima baik oleh pelbagai lapisan  rakyat.

Justeru itu, UMNO Bahagian Labuan menerusi Seketariat Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat yang sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk menyelaras sumbangan tersebut akan ditambah baik supaya penyampaian sumbangan tersebut berjalan lancar.

“Saya akan berbincang dengan Seketariat Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat supaya agihan penghantaran beras ini dapat diturunkan diperingkat  sayap-sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Ini secara tidak langsung setiap sayap bukan sahaja  mempunyai program  turun padang  setiap bulan tetapi mereka  dapat mengenali dan memahami nadi rakyat akar umbi secara bersemuka” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama perwakilan UMNO Bahagian Labuan yang mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2023 di  PWTC, baru-baru ini.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan Program Peduli Rakyat yang dilancarkan pada awal Mei lalu akan dilaksanakan secara berterusan  tidak kira ia pada  musim pilihan raya, sebaliknya program Peduli Rakyat ini merupakan program tetap UMNO Bahagian Labuan.

Beliau yakin Program Peduli Rakyat menerusi sumbangan beras yang  meliputi semua golongan  tanpa mengira kaum, bangsa dan agama serta fahaman politik akan dapat membina semula kebangkitan UMNO   untuk membela nasib rakyat khususnya di pulau ini.

Sehingga hari ini lebih daripada 7000kg (700 kampit)  beras telah di sumbangkan kepada golongan sasar  yang diselaraskan oleh Sekateriat Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat untuk  pasangan yang akan  melangsungkan perkahwinan  dan Sekateriat Keagamaan dan Khairat Kematian  untuk mereka   yang ditimpa musibah  kematian.

Untuk rekod Program Peduli Rakyat  sumbangan beras adalah hasil idea Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan yang ingin bersedekah   sebanyak 100 kg (10 kampit) kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan dan 50kg (5 kampit) beras di sedekahkan kepada keluarga yang ditimpa musibah kematian.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN