Abidin Madingkir (duduk tengah) bersama sebahagian penduduk Kg. Kodop
RANAU: Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah, menerusi Program Khas Perkhidmatan Negeri Sabah (PANTAS), mampu memproses pengeluaran geran tanah dengan lebih cepat, selain dapat menyelesaikan masalah permohonan bertindih di sesuatu kawasan tanpa melalui prosedur permohonan tanah biasa.
Kerajaan negeri mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat sebanyak RM20 juta disalurkan kerajaan persekutuan untuk Program PANTAS yang bertujuan menguruskan penyukatan tanah termasuk pembelian alat-alat penyukatan.
Program PANTAS pernah dilaksanakan di DUN Paginatan iaitu di Kg. Segindai Baru melibatkan kawasan tanah yang dipohon oleh penduduk di beberapa kawasan kampung berhampiran.
Berucap semasa merasmikan dapur Balairaya Kampung Kodop, baru-baru ini, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata isu permohonan tanah bertahun lamanya seperti yang dikemukan oleh penduduk di kawasan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru dan bukan hanya berlaku di sekitar kampung ini malah melibatkan di seluruh daerah di negeri Sabah.
Justeru itu Abidin menasihati para penduduk di Kampung Kodop dan kawasan berhampiran agar membuat permohonan bertulis ditujukan kepada Jabatan Tanah dan Ukur daerah yang memohon penyukatan tanah melalui Program PANTAS agar dapat diusulkan di Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) sebelum dipanjangkan ke Jabatan Tanah dan Ukur pusat bagi pengeluaran penyukatan.
Dalam pada itu, Abidin mengingatkan penduduk Kodop supaya memastikan sama ada kawasan balairaya tempat mereka berada itu termasuk dalam kawasan rizab jalan raya Jabatan Kerja Raya untuk mengelakkan kerugian jika pembinaan jalan raya perlu dilakukan oleh jabatan tersebut suatu hari kelak.
“Pastikan status tanah di kawasan ini, adakah ianya berada dalam kawasan rizab jalan raya JKR. Jika ya, sebarang pembangunan hendaklah dipindahkan ke kawasan lain yang berada di luar kawasan rizab jalan raya,” ujarnya.