ISKANDAR (duduk tengah) bersama wakil agensi pelancongan yang menyertai Program My Destination Sabah & Labuan Meet Johor.
JOHOR: Program My Destination Sabah & Labuan Meet Johor yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang menarik mampu merancakkan dan meningkatkan semula sektor pelancongan Sabah dan Labuan.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd. Yusof berkata ini meliputi lawatan insentif, program hari keluarga korporat serta pelancongan perniagaan bagi menarik minat komuniti perniagaan tempatan untuk menganjurkan acara acara korporat sekaligus menggalakkan percutian terancang dalam norma baharu.
“Program itu bertujuan memberikan sokongan kepada para penggiat industri di Sabah dan Labuan dalam mempromosikan destinasi produk serta pakej pakej pelancongan khususnya kepada pembeli berpotensi yang berada di Wilayah Selatan” katanya.

PENGURUS Tourism Malaysia Labuan, Norhidayah Mohd Noor (tiga dari kiri) bersama wakil agensi pelancongan dari Labuan yang menyertai Program My Destination Sabah & Labuan Meet Johor.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan My Destination Sabah And Labuan Meet Johor Roadshow 2022 di Johor, pada Rabu.
Beliau berkata program yang berkonsepkan Business to Business (B2B) inisiatif itu juga diharap dapat merancakkan kembali industri pelancongan domestik.
Dalam perkembangan yang lain, Iskandar berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Tourism Malaysia melalui Bahagian Perancangan Strategik, kadar penginapan hotel di negeri Sabah dari Januari hingga September 2021 mencatatkan penurunan sebanyak -81.3% iaitu 306,536 berbanding 1,638,035 yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun 2020.
“Labuan juga tidak terkecuali daripada trend penurunan ini. Kadar penginapan hotel dari Januari hingga September 2021 menurun sebanyak -57.8% manakala purata bilangan hari menginap pula merekodkan penurunan kepada 31.8 malam antara Januari hingga Jun 2021 berbanding 42.7 malam yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun 2020” katanya.
Pada majlis itu turut diadakan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara konsurtium pelancongan Sabah dan Johor.
Seramai 28 wakil agensi pelancongan dari Sabah dan Labuan menyertai program tersebut yang melibatkan 18 agensi pelancongan, tujuh hotel dan tiga syarikat penerbangan.
Antara agensi pelancongan dan hotel dari Labuan yang menyertai Program My Destinations Sabah dan Labuan meet Johor Roadshow 2022 ialah Tiara Labuan Hotel, Empire Hornbill Travel & Tour Sdn. Bhd dan Airbone Travel Sdn. Bhd.