Yazid (duduk ketiga dari kanan) bersama barisan Mohd Fadil Sarehan (ketiga dari kanan) bergambar kennangan dengan penerima sijil penghargaan pada majlis itu.
KENINGAU: Program Majikan Prihatin (Caruman Voluntary Excess) akan memberi manfaat kepada pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, dengan caruman pekerja 11 peratus sekarang, pekerja boleh menambah caruman di bawah Caruman Voluntary Excess.
Katanya, melalui Caruman Voluntary Excess, simpanan pencarum dengan secara konsisten dan tambahan dividen tahunan daripada KWSP akan meningkatkan lagi simpanan persaraan pekerja.
“Saya melihat perkara memberi manfaat kepada masyarakat khususnya pencarum KWSP” Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor dalam ucapan Majlis Apresiasi Rakan Strategik Dan Majikan Prihatin (Caruman Voluntary Excess) KWSP Keningau tahun 2024 di hotel perkasa di sini pada Jumaat.
Teks ucapannya disampaikan Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor Haji Yazid Haji Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles.
Robert berharap Program Majikan Prihatin (Caruman Voluntary Excess) ini dapat menjadi penyuntik semangat dan sebagai penggalak kepada majikan untuk bersama-sama memastikan kebajikan pekerja terjaga.
“Inisiatif ini juga dilihat sebagai pemacu usaha ke arah menjayakan satu (1) daripada tiga (3) teras Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025, iaitu teras ‘M-Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat” katanya.
Robert berkata, beliau dimaklumkan bahawa isu ketidakcukupan simpanan persaraan berada di tahap yang membimbangkan.
Katanya, ini dapat dilihat dengan statistik KWSP mencatatkan lebih daripada 50 peratus ahli KWSP di bawah umur 55 tahun di Keningau ini mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun KWSP selepas pengeluaran-pengeluaran khas diperkenalkan.
“Bayangkan jika pencarum, hanya berbekalkan RM10,000 dengan tiada pendapatan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup sehingga 15 ke 20 tahun berikutnya. Oleh itu langkah dan fokus yang jelas untuk menjamin kesejahteraan persaraan masa depan rakyat Malaysia perlu dan harus kita pikul bersama” jelasnya.
Menyentuh tentang majlis itu Robert berkata Majlis Apresiasi seperti ini adalah penting diadakan, bukan sahaja untuk memberi pengiktirafan semata-mata tetapi ia dapat mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara organisasi.
Katanya, ia juga dapat meningkatkan sinergi untuk program dan inisiatif akan datang.
“Selain itu majlis sebegini juga merupakan platform untuk membina jaringan baru dan memperluas hubungan antara semua pihak berpeluang untuk saling suai kenal, bertukar-tukar dan berkongsi pendapat serta kenalpasti peluang-peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat dan berimpak tinggi terhadap sosial dan kemasyarakatan” tambahnya.
Pada masa sama Robert berkata, beliau sentiasa bekerjasama dengan apa juga program yang dijalankan oleh pengurusan KWSP di daerah ini.
“Kesejahteraan rakyat sentiasa di hati dan di jiwa. Saya mengalu-alukan usaha untuk merapatkan lagi hubungan di antara jabatan dan agensi kerajaan bagi menjayakan aspirasi Malaysia Madani dan juga hala tuju Sabah Maju Jaya sekaligus menjayakan agenda ‘Bingkor Membangun Bersama Rakyat’” katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini beliau telah menerima kunjungan hormat daripada delagasi KWSP yang diketuai oleh Pengarah KWSP Wilayah Sabah dan Wilayah Persekuatan Labuan pada tahun 2022 dan kunjungan hormat berikutnya pada bulan Mac tahun ini.
“Dan pada bulan September tahun juga, KWSP telah menemui saya dan membentangkan isu ketidakcukupan simpanan persaraan serta respon strategik KWSP untuk menangani isu tersebut melalui Caruman Melebihi Kadar Berkanun atau Caruman Voluntary Excess” katanya.
Hadir sama Pengarah KWSP Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan
Tuan Haji Mohd Fadil Sarehan,
Timbalan Pengarah KWSP Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Peter Tanggang @ Awg Damit Mahmud,
Ketua Cawangan KWSP Keningau Joshua Thomas Daungkil, wakil-wakil Jabatan Dan Agensi Kerajaan dan majikan-majikan Prihatin.



