Para penganjur dan penduduk merakam gambar bersama Datuk Jonathan(depan tengah)
RANAU: Ratusan penduduk di kawasan pedalaman daerah ini menyertai program kesihatan ‘Projek Komuniti Sinar Baru, Kg Lobou Lama’ yang diadakan di Kg.Lobou Lama di sini baru-baru ini.
Program anjuran Malaysian Family Medicine Specialists Association (FMSA) itu menghimpunkan kepakaran di kalangan doktor dari pelbagai latarbelakang yang membuat Inisiatif memberikan khidmat perubatan percuma kepada penduduk kampung.
Program yang diadakan bertujuan untuk memberikan pengetahuan kesihatan dan melatih komuniti supaya mengmal serta mengekalkan amalan kesihatan yang baik itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
“Kehadiran saya dalam program ini adalah untuk memastikan penduduk di Kg Lobou Baru mendapat saluran bantuan setimpal dengan hasrat Kerajaan ‘Health For All and No One’s Left Behind’.
“Kita bersyukur kerana masyarakat Ranau diberi peluang mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan yang optimal dan saya akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan kesihatan yang sedia ada.
“Saya amat gembira dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Negeri Sabah kerana telah memilih Ranau untuk projek komuniti dan melibatkan saya dalam program yang bermanfaat ini,” katanya.
Pakar-pakar Perubatan Keluarga yang bertugas di seluruh negeri Sabah, dari daerah Tawau dan Semporna, telah bergerak ke sini until turun padang bersama penduduk kampung yang berdekatan.
Jonathan menggesa penduduk agar mengmbil peluang bersama dengan pakar dan bertanyakan mengenai masalah kesihatan dan libatkan diri dalam semua aktiviti yang disediakan.
“Semoga projek ini juga berjaya mengeratkan hubungan silaturahim di antara penduduk kampung dan kakitangan kesihatan dalam menjaga kesihatan sambil meningkatkan kesedaran kita mengenai kepentingan menjaga kesihatan serta menerapkan amalan gaya hidup sihat di kalangan komuniti.
“Terimakasih kepada FMSA yang merealisasikan Inisiatif outreach ini. Semoga apa-apa yang dirancang untuk masa hadapan oleh organisasi ini akan berjalan lancar dan membuahkan hasil.
“Saya juga berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pejabat Perikanan Daerah Ranau kerana bersama berganding bahu menjayakan program ini bersama masyarakat,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa statistik terkini menunjukkan sebanyak 25%orang dewasa di Malaysia mempunyai penyakit kronik, terutamanya penyakit darah tinggi, kencing manis dan tahap kolesterol yang tinggi.
Manakala di Sabah, katanya, statistik tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan hampir 30% penduduk Sabah mempunyai penyakit kronik terutamanya paras kolesterol yang tinggi.
“Risiko mendapat penyakit akan meningkat apabila umur usia meningkat. Salah satu puncanya adalah disebabkan amalan hidup tidak sihat.
“Sekiranya kita tidak bertindak, dijangka lebih 50%warga emas berumur 60 tahun akan mengalami penyakit kronik.
Ambillah peluang pada hari ini untuk membuat saringan kesihatan. Sekiranya masalah kesihatan dikesan awal dan dirawat dengan baik, kita dapat mengelakkan daripada komplikasi seperti serangan jantung, strok, penyakit buah pinggang yang boleh menganggu kehidupan harian,” kata beliau.
Jonathan menambah bahawa kini terdapat dua Pakar Perubatan Keluarga ditempatkan di Kawasan Ranau dan menyokong penuh bahawa lebih ramai lagi pakar ditempatkan di sini dan mutu perkhidmatan kesihatan di Kawasan Ranau juga perlu dipertingkatkan.
Antara aktiviti-aktiviti yang ditawarkan sepanjang program tersebut adalah ceramah kesihatan, konsultasi perubatan membuat diagnosa, rawatan penyakit ringan dan rujukan ke Klinik, saringan kesihatan lelaki dan perempuan dewasa, warga emas dan remaja, pemeriksaan gigi, saringan kanser, imunisasi kanak-kanak dan juga pertandingan memasak dan kuiz kesihatan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk Projek Komuniti Sinar Baru, Dr Zaiton Bt Yahaya, Pengerusi Projek Komuniti Sinar Baru, Dr Tan Huey Yee, wakil FMSA, Dr Nadia Hamimah Bt Kamaludin, wakil FMSA Sabah, Dr Haryati Bt Hamzah, wakil Pejabat Kesihatan Ranau, Dr Flecia Kundayis dan JPKK Lobou Lama, Jaimon Pandakan.