RANAU: Penduduk dari 5 buah kampung di sini, dipelawa supaya datang memanfaatkan Program Kem Perubatan di SK. Kawiyan pada 11-12 Jun bermula 8.00 pagi.
Program anjuran bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) daerah dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Hospital Ranau adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada penduduk yang tinggal jauh di kawasan pedalaman untuk menerima nasihat serta rawatan kesihatan daripada Jabatan Perubatan secara percuma.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, selaku Pengerusi Jawatankuasa ALPH, Benedict Gunda (gambar) berkata, program yang julungkali diadakan itu adalah antara lain CSR pihak hosptal dengan kerjasama pihak ALPH memberi bantuan kepada komuniti menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma terutamanya kepada warga luar bandar dan tinggal jauh dari Hospital daerah.
Menurut Benedict, pelbagai aktiviti kesihatan akan diadakan sempena program itu termasuklah, Pemeriksaan Kesihatan, Ceramah Promosi Kesihatan, Pemeriksaan Gigi, Gunting Rambut Percuma, Pemberian Ubat Cacing dan Penyerahan Pakaian Terpakai kepada penduduk yang dikenalpasti memerlukan”, jelas Benedict.
Beliau mengharapkan kepada penduduk Kg.Kawiyan, Kg.Manikulau, Kg.Kilanas, Kg. Patau dan Kg.Giring serta kampung-kampung sekitarnya supaya hadir memanfaatkan program tersebut.
“Tiada bayaran dikenakan untuk mengikuti program itu, yang memberi tumpuan kepada mereka yang bermasalah berhubung kesihatan diri”, tambah Benedict sambil memaklumkan Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin dijangka hadir meninjau program tersebuat pada hari kedua.



