Abidin menuai padi sebagai simbolik perasmian majlis itu
RANAU: Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) yang dianjurkan Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia mampu memberi penerangan berkenaan isu semasa kepada penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
Justeru, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Adun N.38 Paginatan Datuk Abidin Madingkir menggesa agar program tersebut dapat diperluaskan lagi.
Katanya, inisiatif yang dilaksanakan pihak JaPen Malaysia ini tepat pada masanya memandangkan ramai anggota masyarakat yang terkeliru dengan pelbagai berita palsu dan kurang tepat yang tular di media sosial.
“Peranan JIWA ini begitu penting kerana ia menyampaikan maklumat yang sahih agar masyarakat tidak terpesong oleh hasutan dan fitnah dari pihak berkenaan mengenai dasar dasar yang ingin disampaikan oleh kerajaan,” katanya.
Menurutnya, program tersebut turut memberi satu sudut pandang yang tepat kerana pemimpin setempat boleh diberi pemahaman berkaitan isu yang penting untuk difahami penduduk kampung.
Abidin berkata demikian semasa merasmikan Program JIWA Komuniti Madani dan Sambutan Pesta Kaamatan Kg Gana-Gana yang diadakan di Mini Dewan kampung berkenaan pada hari Sabtu.
Beliau turut memuji usaha serta inisiatif Jabatan Penerangan dan juga barisan kepimpinan dan penduduk kampung yang terlibat dalam merealisasikan acara tersebut dengan jayanya.
“Sesungguhnya, hubungan dan kerjasama di kalangan masyarakat dan Jabatan Penerangan mestilah sentiasa rapat kerana ini akan melahirkan masyarakat yang sentiasa peka dengan informasi sahih yang berlaku di negara kita,” jelas beliau.