Masidi dan wanita dalam komuniti dalam gambar berkumpulan
RANAU: Program Gotong-Royong Perdana yang berlangsung baru-baru ini di Kampung Karanaan, Ranau berjaya memberi impak positif kepada pembentukan nilai murni dalam kalangan masyarakat dan penduduk kampung.
Menteri Kewangan Sabah merangkap Adun N.37 Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata program ini bertujuan memupuk semangat kerjasama dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan dan keceriaan di kampung.
Program yang julung kali dilancarkan itu turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
Antara peserta yang terlibat ialah petugas dari Pejabat Adun N37, UPPM Karanaan, JPKK, Persatuan Wanita Jaya, agensi kerajaan dan swasta, NGO, dan penduduk kampung.
“Ini mencerminkan sikap baharu dalam usaha membangunkan kampung atau negeri. Pembangunan hanya akan berkesan dengan kerjasama dua hala,” katanya.
Masidi turut menegaskan tanggungjawab menjaga kemudahan awam seperti balai raya, parit dan jalan raya perlu dikongsi bersama.
“Kerajaan menyediakan kemudahan, namun cara terbaik untuk kita menghargainya ialah dengan menjaga dan mengindahkan kawasan sekitar serta mengekalkan kemeriahan kampung,” katanya.

Masidi menanam pokok semasa gotong royong
Pada masa sama, Masidi turut mencadangkan peraduan kecantikan kampung dianjurkan pada tahun hadapan bagi memupuk kesedaran berterusan tentang kebersihan dan keceriaan.
“Saya mencadangkan pertandingan kecantikan kampung diadakan pada tahun hadapan diuruskan oleh Pejabat UPPM. Kampung tercantik dan terbersih akan menerima peruntukan pembangunan RM20,000,” katanya.
Pertandingan ini dicadangkan berlangsung selama enam bulan bagi memberi masa yang cukup kepada para peserta.
Masidi turut menjelaskan peruntukan RM20,000 itu adalah tambahan dan tidak menjejaskan sebarang permohonan lain yang dikemukakan oleh kampung berkenaan.
Dalam ucapannya, Masidi turut mengumumkan kelulusan pembinaan dewan baharu Kampung Karanaan.
“Saya meluluskan peruntukan RM200,000 untuk pembinaan dewan baharu yang diminta penduduk kampung, seperti yang dinyatakan Pengerusi JPKK, mengikut keperluan kampung,” katanya.
Beliau berharap dewan baharu ini dapat menjadi asas kepada penambahbaikan kemudahan lain seperti gelanggang sedia ada, sekaligus meningkatkan manfaat kepada masyarakat.