Melania (berdiri ketiga kanan) dan lain-lain semasa program derma darah itu
RANAU: Program menderma darah yang diadakan di lobi asrama Gereja St Peter Claver Ranau (SPCR) pada hari Ahad lepas berjaya mengumpulkan 25 pint darah daripada penderma yang hadir.
Program yang dianjurkan oleh Komuniti Katolik MOH (Hospital, Klinik Kesihatan dan Pergigian Ranau) dengan Kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Ranau dan Komiti Caritas SPCR itu, berlangsung selama 5 jam iaitu daripada jam 8am hingga 1pm.
Pengerusi Penganjur program derma darah itu, Melania Petrus berkata, pada awalnya, Jawatankuasa penganjur mensasarkan 30 pints untuk dikutip pada acara itu, namun hasil sebanyak 25 pints juga sudah memadai.
Beliau berterimakasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program itu, terutama sekali kepada semua individu yang tampil untuk menderma darah Sempena program tersebut.
“Tidak lupa ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Pastoral Paroki (MPP) SPCR yang telah menyumbang pembelian beras 5kg untuk diberi kepada penderma yang layak menderma darah. Sebanyak 30 pek adalah sumbangan daripada MPP,” katanya.
Tambah beliau, tujuan utama program itu diadakan ialah bagi menambah bekalan darah di Unit Tabung Darah Hospital Ranau, terutama sekali bagi kegunaan pesakit Talasemia di Ranau yang semakin bertambah bilangannya.
Menurut Melania lagi, pada ketika ini terdapat seramai 101 orang pesakit Talasemia di Ranau dan jumlah ini memerlukan bekalan darah dalam anggaran hingga 400 pint setiap bulan.
“Keperluan darah mengikut setiap individu tidak sama. Tapi maksimum keperluan darah bagi setiap pesakit Talasemia adalah dalam tiga hingga empat pint sebulan bagi pesakit dewasa.
“Bagi pesakit kanak-Kanak pula, mereka memerlukan dalam anggaran satu hingga tiga pint sebulan. Pecahan jumlah pesakit Talasemia ketika ini ialah seramai 57 pesakit dewasa dan 44 pesakit kanak-Kanak,” katanya.