Golongan Asnaf yang menerima sumbanangan program CSR merakam gambar kenangan bersama Jawatankuasa .JANM.
SEMPORNA : Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) telah melaksanakan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bermakna dengan pengagihan bakul makanan kepada 50 golongan asnaf di Madrasah Islamiah, Pulau Mabul, Semporna. Program ini bertujuan untuk meringankan beban kehidupan harian golongan asnaf di kawasan tersebut, terutamanya dalam aspek keperluan asas. Pada 08 Oktober 2024 di Madrasah Islamiah Kampung Pulau Mabul, Semporna, Sabah.
Program ini telah mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk Persatuan Veteran Komando Malaysia Sabah (PVKMS) dan KRT Taman Semporna Centre, yang turut membantu dalam pengurusan dan logistik pengagihan. Bakul makanan yang diagihkan merangkumi barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, dan makanan kering lain yang amat diperlukan oleh golongan asnaf.
YBrs. Puan Nor Yati Ahmad, Akauntan Negara Malaysia, menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha jabatan untuk memberi kembali kepada masyarakat, terutamanya kepada mereka yang memerlukan.
Beliau juga berharap bahawa program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar untuk membantu lebih ramai individu di seluruh negara.
Selain daripada pengagihan bakul makanan, program ini turut melibatkan sesi interaksi bersama golongan asnaf dan anak-anak madrasah untuk memahami keperluan mereka dengan lebih mendalam serta memberi motivasi dalam menghadapi cabaran hidup.
Program CSR ini telah berjaya mencapai matlamatnya dan mendapat sambutan baik daripada komuniti tempatan. Madrasah Islamiah juga melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sumbangan yang diberikan oleh JANM, yang telah banyak membantu mengurangkan bebanan harian golongan asnaf di Pulau Mabul.
Dengan program sebegini, JANM bukan sahaja menjalankan peranannya sebagai agensi kerajaan tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan sosial dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Turut Hadir bersama Brig Jen Wan Edenin Wan Mahsin, Panglima Markas ATB 2, En. Nizam bin Limun, Pengarah JANM Cawangan Tawau dan Pengarah – Pengarah Bahagian JANM.