26 C
Kota Kinabalu
Ahad, November 9, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Program Badi’ STEM mampu menjadi pemangkin budaya STEM dalam kalangan pelajar dan guru

Pameran Drone Edu Challenge IR 4.0 daripada pelajar SK Bundu Tuhan


RANAU: Program Badi’ STEM yang diadakan di SRK Don Bosco baru-baru ini mampu menjadi pemangkin budaya STEM dalam kalangan pelajar dan guru daerah ranau sejajar hasrat PPPM 2013 – 2025.


Guru Besar SRK Don Bosco, Ivy Sapiun @ Patrick Sapiun berkata, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi sejajar dengan perubahan zaman di mana Pendidikan Sains kekal menjadi prioriti di negara membangun ini.


“Menyedari bahawa elemen Sains yang sebelumnya berdiri secara tunggal perlu disokong oleh elemen-elemen lain supaya menjadi relevan pada masa ini, Pendidikan STEM kini semakin mendapat perhatian oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), universiti-universiti awam dan pihak swasta,” katanya.


Berkenaan dengan Program Badi’ STEM SRK Don Bosco dan PPD Ranau, Ivy memberitahu bahawa, atas dasar kesedaran dan inisiatif bagi membudayakan dan memperkasakan lagi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM dalam kalangan guru, murid dan komuniti setempat, satu program berasaskan STEM telah dirancang dan dianjurkan bagi menyahut hasrat PPPM 2013 – 2025 ini.


“Pihak sekolah bersama-sama dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Ranau di bawah bimbingan Timbalan PPD, Sektor Perancangan PPD Ranau, Foo Lee Yen dan Pegawai SISC+PPDR, Dr Losius Goliong telah menganjurkan Program Badi’ STEM 2022 peringkat negeri.

Acara menandatangani Letter of Intern (LOI) antara Pengarah IPG Kent Tuaran dan Guru Besar SRK Don Bosco Ranau


“Program Badi’ STEM 2022 ini merupakan satu perhimpunan atau pertemuan beberapa agensi dan sekolah untuk membudayakan pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan STEM dalam kalangan masyarakat khususnya murid, pelajar dan guru-guru sekolah.


“Selaras dengan kata Badi’ yang diambil daripada kosa kata Bahasa Kadazandusun yang bermaksud pertemuan atau ‘tamu’, program Badi’ STEM 2022 ini menghimpunkan agensi-agensi dan sekolah-sekolah daripada beberapa buah daerah untuk bersama-sama berkongsi dan menjayakan program ini,” kata beliau.


Menurut Ivy lagi, program ini dilaksanakan atas tujuan untuk membudayakan kemahiran STEM dalam kalangan pelajar, memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa kemahiran STEM mampu memberi peluang pekerjaan dan menjelaskan kepada masyarakat tujuan sebenar STEM.


Di samping itu, katanya, ia juga untuk memberi peluang kepada murid untuk menonjolkan kemahiran dan nilai dan juga membina rangkaian erat di antara sekolah, agensi dan IPT yang berdekatan.


“Program Badi’ STEM 2022 ini diadakan selama 3 hari iaitu pada 6hb Disember 2022 sehingga 8hb Disember 2022 dan bermula seawal jam 7.00 pagi sehingga jam 4.30 petang. Program diadakan di Dewan SRK Don Bosco.


“Penglibatan beberapa buah sekolah dan agensi dari beberapa daerah lain sekitar Ranau memeriahkan lagi program peringkat negeri ini. Pengunjung seramai lebih daripada 700 orang guru dan murid yang dijemput dari sekolah-sekolah sekitar daerah Ranau akan bertandang ke program yang julung-julung kali ini diadakan,” katanya.


Ivy memberitahu bahawa antara sekolah dan agensi yang terlibat adalah seperti Politeknik Kota Kinabalu; SK Giok, SK Sinulihan dan IPG Kent Tuaran; SK Kiau, SK Dallas dan SK Kaung Kota Belud; SRK Don Bosco, SK Libang, SK Bundu Tuhan dan SMK Bundu Tuhan Ranau; dan juga PDRM Ranau dan Klinik Kesihatan Bundu Tuhan.


“Antara aktiviti yang dijalankan adalah pameran STEM, aktiviti permainan yang melibatkan kemahiran STEM, ceramah gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar oleh pihak PDRM, ceramah peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Politeknik Kota Kinabalu, jualan makanan dan beberapa aktiviti lain,” katanya.


Ivy berkata, dengan jayanya pelaksanaan Program Badi’ ini akan memberi impak yang tinggi dan berkesan terhadap aspek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik di peringkat sekolah khasnya kepada golongan guru dan pelajar.


“STEM dilihat dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sebagai satu bidang yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sedia ada dalam semua mata pelajaran STEM.


“Di samping itu, program ini juga diharapkan akan memberi pengalaman dan pengetahuan baru serta sebagai satu platform perkongsian idea dan inovasi dalam bidang STEM kepada warga sekolah SRK Don Bosco sendiri serta kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.


“Diharapkan, program-program bermanfaat serta berimpak tinggi akan terus diadakan pada masa-masa akan datang bagi memenuhi aspirasi negara dan PPPM 2025 kelak,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN