Azman merakamkan kenangan bersama pelbagai watak pada program itu
Oleh: Rizalmi Liman
KENINGAU: Program Anime Fiesta Keningau merupakan platform belia berkreativiti dan berinovasi.
Pengarah Sabah Net, Datuk Azman Haji Ruslan berkata, program yang sihat ini perlu dipergiatkan kerana dapat menyediakan medium untuk mempamerkan hasil kreativiti para belia.
“Jika program ini diteruskan belia akan dapat saling bersaing secara sihat untuk mempamerkan kreativiti mereka dalam memperagakan hasil watak anime pilihan mereka.
“Selain itu, ini akan dapat mengumpulkan para belia daripada pelbagai latar belakang bersatu padu dan mengeratkan silaturahim dalam satu program yang diminati mereka ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Anime Fiesta Keningau Volume 2 di Dewan Kompleks Sukan Keningau, pada Ahad.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah DUN Liawan berkata, program ini mendapat penyertaan daripada daerah-daerah lain di negeri ini termasuk terdapat peserta daripada Negara Indonesia.
Beliau percaya program ini akan mendapat penyertaan dan pengunjung yang lebih ramai pada masa akan datang dan seterusnya menarik lebih ramai pelawat ke daerah ini.