BEKERJASAMA…Jueephine turut menjayakan Program Amal Bakti Rela Ranau.
RANAU: Program Amal Bakti pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah ini, dipuji kerana aktif melaksanakan aktiviti beri manfaat kepada penduduk setempat.
Baru-baru ini Rela Ranau telah melaksanakan Program Amal Baktinya untuk mengcat dinding rumah kediaman salah seorang warga emas, Hajah Runiah Binti Haji Kasuman 75, di Kg.Karanaan Ranau.
Hajah Runiah ketika ditemui merakam ucapan terima kasih atas bantuan pihak Rela Ranau kerana mengcat bangunan rumahnya berukuran 40’x60′ yang telah dibina sejak puluhan tahun yang lalu.
“Di rumah inilah tempat saya berteduh bersama tiga orang cucu saya”, jelas Hajah Runiah.
Beliau berterima kasih kepada Rela daerah kerana bergotong royong mengcat dinding dengan kos pembelian cat juga dibiayai sendiri oleh anggota Rela Ranau.
Sementara itu, Pegawai Rela daerah Ranau, Jueephine Binti Hiyah yang mengetuai Program Amal Bakti itu, memberitahu pihaknya sentiasa bergerak aktif melaksanakan CSR melibatkan penduduk tanpa mengira status dari segi agama, kaum dan politik.
“Kita sedia menghulurkan bantuan dan sumbangan setakat termampu bagi meringankan beban keluarga atau individu yang berkenaan”, jelas Jueephine.
Beliau mengajak para anggota Rela daerah Ranau, supaya sentiasa bersatu bermuafakat dan peka dengan arahan daripada pihak atasan melaksanakan tugas bila-bila masa diperlukan.
Awal tahun ini juga pasukan Rela Ranau telah bergotong royong memasang atap zink rumah kediaman salah seorang penduduk di Kg.Namaus Ranau dengan kos pembelian atap zink dibiayai oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
“Tugas Rela bukan setakat itu sahaja, malah meliputi tugasan mencari dan menyelamat inividu yang dilaporkan hilang di hutan atau sungai serta bertugas membantu pihak PDRM dalam sesuatu majlis rasmi anjuran jabatan kerajaan negeri dan persekutuan”, tambahnya.