ADVERTISEMENTspot_img

Jonathan Gesa Pemilik Rumah Terjejas Pan Borneo Segera Kemas Kini Maklumat Bagi Pembayaran Ex Gratia

RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, menggesa semua pemilik rumah yang terjejas akibat pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo dan telah diluluskan menerima bayaran pampasan ex gratia supaya segera mengemas kini maklumat peribadi serta akaun bank bagi melancarkan proses penyaluran pembayaran.


Beliau berkata, proses pengemaskinian itu perlu dilakukan di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Ranau, yang kini mempunyai senarai rasmi pemilik rumah yang layak menerima pampasan berkenaan.


Menurut Jonathan, para penerima hanya perlu hadir ke pejabat PPHT Ranau bagi mengemas kini maklumat yang diperlukan, khususnya nombor akaun bank, bagi memastikan pembayaran ex gratia dapat disalurkan tanpa sebarang kelewatan.


“Kerajaan komited memastikan setiap pemilik rumah yang layak menerima bayaran ex gratia memperoleh hak mereka. Oleh itu, kerjasama semua penerima amat diperlukan untuk mengemas kini maklumat peribadi dan akaun bank secepat mungkin,” katanya.


Beliau menjelaskan bahawa pengumuman itu khusus ditujukan kepada penduduk daerah Ranau dalam kawasan DUN Paginatan yang terjejas oleh pelaksanaan pembinaan Projek Pan Borneo melibatkan Work Package (WP) 33, WP34 dan WP35, terutama pemilik rumah yang tidak mempunyai geran tanah tetapi telah dikenal pasti layak menerima bayaran ex gratia.


Jonathan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menangguhkan urusan tersebut kerana pengemaskinian maklumat merupakan langkah penting bagi memastikan proses pembayaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan tepat kepada penerima yang layak.


Beliau berharap semua individu yang terlibat dapat mengambil tindakan segera dengan hadir ke PPHT Ranau dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam penyaluran bantuan ex gratia.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN