30 C
Kota Kinabalu
Isnin, November 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Profesor Pilihan Warisan Sebagai Calon di Membakut

Calon Parti Warisan N31 Membakut Dr. Mohd Kamaruddin

MEMBAKUT: Parti Warisan Sabah (Warisan) memilih mantan profesor madya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr Mohd Kamaruddin Abd Hamid sebagai calon N.31 Membakut.

Warisan yakin Dr. Mohd Kamaruddin boleh membantu membawa perubahan landskap sosio ekonomi kepada rakyat di kerusi DUN N31 Membakut.

Dr Mohd. Kamarudin yang juga sinonim dengan panggilan Dr. Udin telah berkhidmat dalam bidang pendidikan sejak tahun 2003 sebagai tutor sebelum disahkan sebagai pensyarah sehinggalah menjadi profesor madya pada tahun 2018 telah menerima banyak anugerah dalam sektor pendidikan termasuklah Anugerah Inovasi Naib Canselor untuk Projek Model Pembangunan Negeri Secara Bersepadu (IISJ).

Minat beliau dalam program kemasyarakatan dan curahan bakti kepada masyarakat dapat dilihat dengan penglibatannya secara aktif dalam perkongsian ilmu dan pengetahuan melalui kepelbagaian platform – bengkel dan ceramah selain penulisan di akhar tempatan.

Meskipun kepakaran beliau dalam bidang kejuruteraan kimia tidak dapat disangkal melalui anugerah-anugerah yang telah diperolehinya, namun Dr Udin Mamit juga ada minat mendalam iaitu dalam sektor pertanian dan perikanan, tetapi bukan melalui kaedah konvensional tetapi melalui sistem fertigasi dan moden.

Dengan sikap rendah diri, beliau bersungguh-sungguh mahu melihat impian dan perancangannya untuk mencurah bakti kepada rakyat di Membakut menjadi realiti selepas Pilihanraya Negeri ke-16 ini.

“Selepas mencurah bakti dalam sektor pendidikan hampir 20 tahun, rasa terpanggil bahawa tiba masanya untuk mencurah bakti kepada masyarakat di tempat kelahiran saya Membakut.

“Melihat kepada sebilangan masyarakat disini ada juga bergiat dalam sektor pertanian dan perikanan…namun kaedah penanaman mereka masih secara tradisional begitu juga dengan perikanan.

“Apa yang saya ingin lihat adalah sistem fertigasi dalam penanaman mampu membantu petani-petani menjana pendapatan lebih lumayan dalam masa yang singkat.

“Sebagai contoh, cili merah adalah tanaman jangka masa singkat yang bernilai tinggi…penanaman cili merah di negara ini dijalankan masih menggunakan kaedah konvensional dan sistem fertigasi masih kurang.

“Teknologi sistem fertigasi ini telah terbukti dapat meningkatkan hasil dan mempunyai daya maju yang tinggi…kos atau modal permulaan tinggi akan diimbangi hasil pengeluaran yang tinggi…ia juga terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman cili merah sehingga tiga hingga empat kali ganda berbanding kaedah konvensional.

“Teknologi ini juga lebih mesra alam berbanding kaedah konvensional dan mengikut amalan pembangunan pertanian lestari, di samping memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya dalam satu siding media khas bersama media di Membakut baru-baru ini.

Katanya, sebilangan masyarakat yang bergantung hidup dengan hasil laut juga boleh dibantu melalui kaedah perikanan moden dan efisyen.

Jelasnya lagi, Membakut boleh menjadi perintis pelaksanaan sistem perladangan akuakultur pintar, satu kaedah baharu penternakan ikan mesra alam tanpa penggunaan bahan kimia, dan tidak menyebabkan pencemaran dan menjimatkan kos serta masa.

Teknologi baharu akuakultur berasaskan teknologi sangat sesuai dikembangkan di kawasan berkeluasan terhad seperti di Membakut ini berbanding kaedah penternakan biasa yang memerlukan kawasan luas untuk kolam ikan.

Akuakultur moden ini menggunakan tangki bersaiz besar di bawah bumbung dan mampu mengurangkan kos buruh dan menjana pendapatan yang lumayan.

“Kaedah ini mampu memendekkan tempoh penternakan ikan, mengurangkan kadar kematian benih ikan, kerja penyelenggaraan dan penggunaan tenaga kerja. Selain itu penternak dapat menikmati hasil yang lebih tinggi dengan kadar antara 1.5 hingga dua kali ganda berbanding kaedah penternakan ikan yang biasa di kolam terdedah.

“Kaedah ini juga mampu melindungi alam sekitar kerana ia tidak menggunakan kolam tanah, sangkar di sungai atau laut seperti kaedah akuakultur biasa yang digunakan oleh nelayan,” katanya.

Dr Udin berkata sudah semestinya perancangan seperti ini memerlukan bantuan kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Senario telah berlalu dimana kedua sektor pertanian dan perikanan bukan lagi tumpuan warga tua tetapi adalah generasi muda…telah ramai belia di negara ini yang telah berjaya dan mampu memperolehi pendapatan lumayan dengan menggunakan kaedah fertigasi dalam penanaman dan perikanan moden.

“Saya melihat generasi muda di Membakut berminat terlibat dalam kedua sektor ini… namun harus ada tunjuk-ajar dan garis panduan serta bantuan permulaan, dan ianya boleh kita fikirkan dan pertimbangkan” katanya.

Menurut beliau lagi, perancangan seperti ini sememangnya memerlukan minat dan penyediaan kawasan, sudah semestinya Parti Warisan Sabah dalam agenda pembangunan negerinya bersedia untuk pembukaan kawasan untuk sektor penanaman yang boleh meningkatkan produktiviti dan hasil lumayan dalam masa singkat,” tambahnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN