PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Januari ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 10 Januari, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini, sambil memaklumkan bahawa urusan permohonan bagi semua kategori undi pos, termasuk di dalam dan luar negara, dibuka mulai hari ini.
Menurutnya, SPR akan memastikan keseluruhan proses pilihan raya dilaksanakan secara teratur, telus dan mematuhi peruntukan undang-undang pilihan raya yang berkuat kuasa.



