32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mac 29, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PPV Pandu Lalu UMSKAL Mula Operasi, Bantu Percepat Pemberian Vaksin Di Labuan

Salah seorang penerima vaksin menerima suntikan di PPV Pandu Lalu UMSKAL.

LABUAN, 6 JULAI –Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu (Drive Thru) di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mula beroperasi hari ini membabitkan pemberian vaksin dos kedua.

Pengarah UMSKAL Profesor Dr Jualang Azlan Gansau berkata, operasi PPV secara pandu lalu itu akan dilaksanakan sehingga tamat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Labuan namun bergantung kepada arahan semasa.

“PPV ini akan dijalankan di sekitar perkarangan UMSKAL dan ia merupakan hasil kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan dan UMSKAL sendiri.

“Seramai 20 petugas kesihatan termasuk dua Jururawat Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan selain beberapa lagi sukarelawan MyVac dan sukarelawan komuniti akan membantu menjayakan PPV secara pandu lalu ini,” katanya.

Dua jururawat Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan turut membantu petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia di PPV Pandu Lalu UMSKAL.

Dr Jualang berkata, PPV secara pandu lalu ini hanya melibatkan pemberian vaksin dos kedua bagi membantu mengurangkan kesesakan di PPV awam yang lain dengan kapasiti pemberian sebanyak 800 hingga 1,000 orang sehari.

“Dua orang Jururawat dari Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan akan bertugas sebagai ‘vaccinator’ selain seorang doktor dan seorang pembantu pegawai perubatan turut membantu secara berkala,” katanya.

Pra-pelancaran PPV secara pandu lalu itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Sementara itu, Dr Ismuni ketika ditemui media memberitahu, kemudahan PPV Pandu Lalu di UMSKAL itu merupakan PPV ketujuh di Labuan dan yang pertama disediakan secara pandu lalu bagi memudahkan penerima vaksin menerima suntikan.

Dr Jualang (dua dari kanan) dan Dr Ismuni (tiga dari kanan) merakamkan gambar bersama salah seorang penerima vaksin.
Sekian.

Katanya, usaha ini membolehkan sasaran 80% penduduk berumur 18 tahun ke atas menerima vaksin dapat dicapai menjelang bulan Ogos ini sekaligus membantu Labuan menjadi kawasan yang pertama mencapai imuniti kelompok di negara ini.

“Pihak jabatan beserta JPBD merakamkan penghargaan kepada UMS di atas persetujuan menggunakan fasiliti di sini bagi tujuan PPV secara pandu lalu agar pemberian vaksin dapat dijalankan lebih teratur dan kemas,” ujar beliau.

Hadir sama pada pelancaran PPV Pandu Lalu UMSKAL ialah Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Daud; dan Pengerusi JPBD Labuan, Rithuan Ismail.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN