30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PPS adakan adakan Kursus dan Bengkel OACP

Willie Tadam (duduk tengah) danGeorge Taitim Tulas (enam dari kanan) bergambar bersama para penceramah, fasilitator dan peserta kursus.

PENAMPANG: Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) atau Sabah Credit Corporation telah mengadakan Kursus dan Bengkel Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi atau Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) bertempat di Wisma Perbadanan Pinjaman Sabah, Donggongon, Penampang bermula dari 8 Mei hingga 11 Mei 2023 lepas.

Kursus dan bengkel ini adalah inisiatif serta komitmen PPS bersesuaian dengan saranan Ketua Menteri dan melalui arahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang mahu semua Jabatan, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan untuk membangunkan pelan antirasuah selaras dengan inisiatif di bawah Strategi 2 Pelan Antirasuah Nasional atau National Anti-Corruption Plan (NACP) 2019 – 2023 dan di bawah Pemboleh Daya 4, Pelan Pembangunan SMJ 1.0 2021 – 2025.

Kursus dan bengkel yang berlangsung selama empat hari itu telah disertai oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada 20 orang kakitangan pengurusan setiap jabatan dalam PPS dan turut disertai oleh 10 orang pegawai daripada Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGONS).

Sesi pembukaan kursus dan bengkel tersebut telah disempurnakab oleh Encik Willie Tadam, selaku Ahli Lembaga Pengarah PPS yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan dan Integriti (CIC) PPS.

Willie dalam ucapannya, memuji komitmen yang telah diambil oleh PPS yang mana telah menubuhkan Unit Pematuhan dan Integriti (CIU) pada tahun 2019 sebagaimana yang diwajibkan.

Beliau juga menekankan peri pentingnya nilai-nilai yang terkandung di dalam OACP itu diterapkan sebagai budaya kerja di kalangan warga PPS dalam mengangkat martabat PPS sebagai sebuah badan berkanun yang bukan sahaja membangun dalam aktiviti perniagaan yang dijalankan tetapi juga diyakini kerana sistem pengurusan yang berintegriti.

“Ini secara tidak langsung akan memberi impak yang positif kepada kerajaan negeri kerana ianya juga mencerminkan hasrat murni dan komitmen untuk membanteras rasuah dalam perkhidmatan berkaitan pentadbiran kerajaan” katanya.

Oleh itu, tambah beliau lagi, para peserta harus menggunakan kursus ini sebagai landasan untuk mengoptimumkan pengetahuan terhadap setiap garis panduan yang ditetapkan dan seterusnya menggunakan pengetahuan serta dapatan yang diperolehi untuk memastikan proses membangunkan OACP itu dapat dilaksanakan dengan lebih jitu dan mantap, sesuai dan selari dengan dasar serta polisi yang telah ditentukan.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada SPRM Sabah serta Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang banyak membantu dan memberikan nasihat sepanjang proses penubuhan CIU yang sebelumnya berada di bawah kendalian pengurusan PPS dan kini dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Pengarah PPS melalui Jawatankuasa Pematuhan dan Integriti yang turut dianggotai seorang pegawai daripada SPRM Sabah sebagai ahli jawatankuasa bebasnya.

Kursus dan bengkel ini telah dikendalikan oleh empat orang pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ibupejabat SPRM Putrajaya dan pejabat SPRM Sabah yang bertindak sebagai penceramah dan fasilitator, manakala Unit Pematuhan dan Integriti PPS sebagai urus setia.

Penutupan kursus dan bengkel itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPS, Encik George Taitim Tulas.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN