30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PPN Sabah sambut cadangan EAIC buang penjawat awam langgar integriti, lindungi salah laku

Wences (empat dari kiri) bersama Ahli Jemaah Pengarah PPNS pada majlis melibatkan pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang yang ditempatkan di PPNS.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik cadangan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar agar penjawat awam yang melanggar integriti termasuk ketua jabatan yang melindungi salah laku perlu dibuang.

Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Tan Sri Wences Angang berkata, cadangan dan ketegasan EAIC mengenai isu integriti patut didengar oleh Kerajaan Persekutuan terutama Ketua Setiausaha Negara (KSU) dan Ketua Pengarah (KP) Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata, tindakan tegas patut diambil terhadap penjawat awam terutama ketua jabatan yang melakukan salah laku termasuk melindungi anak-anak buahnya yang melanggar prinsip integriti.

“Cadangan dan ketegasan EAIC amat wajar bagi menyelamatkan imej dan nama baik perkhidmatan awam, kerana perbuatan ketua jabatan yang melindungi atau bersekongkol dengan pegawai-pegawainya hanya akan merosakkan sistem dan menjejaskan nama baik Kerajaan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu tegas mengenai integriti dan menolak amalan rasuah untuk merealisasikan perancangan pembangunan negara.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan khususnya KSN, KP Perkhidmatan Awam terus berlembut dan enggan mengambil tindakan tegas terhadap salah laku ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, maka imej perkhidmatan awam akan terjejas. Pelabur juga tidak akan yakin dengan sistem pentadbiran kerajaan”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wences yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah mengulas kenyataan Tan Sri Dr Ismail Bakar pada Khamis lalu bahawa Penjawat Awam yang terbabit salah laku serta melanggar prinsip integriti perlu dibuang daripada sistem, termasuklah ketua jabatan yang dikenal pasti melindungi perbuatan itu.

Katanya, tindakan itu perlu dilaksanakan meskipun ia bukanlah satu langkah yang popular demi memastikan perkhidmatan awam negara dapat diselamatkan.

Beliau mendedahkan ada pihak atasan yang bersekongkol dengan aktiviti salah laku dalam kalangan anak buah, malah ada yang turut menjadi ‘kepala’ kepada perbuatan yang mencemarkan imej perkhidmatan awam.

“Bagaimana kita hendak membendung isu salah laku dan integriti jika tiada tindakan tegas diambil.

“Justeru, sesiapa dalam kalangan perkhidmatan awam yang melakukan salah laku serta melanggar prinsip integriti perlu dibuang dari sistem, hatta ketua jabatan itu sendiri perlu dibuang jika melindungi kegiatan salah laku”, katanya.

Wences berkata, melalui media cetak dan media eletronik banyak pihak yang telah melaporkan salah laku pegawai pegawai kanan perkhidmatan awam kepada KSN dan KP Perkhidmatan Awam dengan bukti-bukti nyata, mengharapkan pihak kerajaan mengambil tindakan.

Malahan katanya, terdapat kes salah laku dan isu integriti seorang pengarah agensi kerajaan persekutuan yang telah dilaporkan, namun masih menunggu tindakan diambil, akibatnya ketua jabatan berkenaan semakin berani dan terus mengulangi perbuatannya menyebabkan kerugian kepada dana kerajaan.

“Kita berharap sangat, sekiranya ada laporan berserta bukti-bukti nyata salah laku anggota perkhidmatan awam termasuk ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua unit, Kerajaan harus mengambil tindakan menyiasat segera dan menggantung perkhidmatan anggota itu. Jika terbukti ada salah laku yang dilakukan, tindakan tegas hendaklah diambil seperti yang dicadangkan oleh EAIC.

“Tidak ada gunanya setiap hari dan dalam setiap ucapan yang dizahirkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melontarkan komitmen dan iltizam kerajaan perpaduan untuk memerangi dan membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sekiranya tiada tindakan susulan diambil oleh pihak terbabit”, kata Wences yang yakin kali ini kerajaan tetap akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN