RANAU: Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) daerah ini, akan mengadakan Majlis Sambutan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sambutan Hari Raya peringkat daerah di Dewan Terbuka PPDK jalan Lapangan Terbang dekat Kg.Rapak di sini pada 28 Mei bermula 7.30 pagi.
Setiausaha PPDK Ranau Mohd. Roslan Bin Abdullah (gambar) memberitahu, pelbagai acara bakal diadakan sempena majlis itu yang dijangka akan dirasmikan Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Menurutnya, antara acara menarik selain Sukaneka (dijalankan lebih awal) ialah, Pertandingan Unduk Ngadau oleh para Pelatih, Persembahan tarian Sumazau, Koir dan penyampaian Duit Raya kepada para pelatih.
“Dijangka hadir pada majlis yang bertemakan ‘Bersama Membangun Insan Istimewa’ itu ialah, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Haji Faimin Bin Kamin dan Pengarah Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Bin Asri”, jelasnya.
Roslan memaklumkan, pada masa itu, seramai 116 orang Pelatih di PPDK Ranau iaitu 30 orang adalah Pelatih di Rumah dan 86 orang (Pelatih Pusat) dijangka hadir memeriakan majlis tahunan tersebut.
Sementara itu Pengerusi PPDK Ranau, Jabay@Jaibie Surugau turut mengharapkan kepada ibu bapa yang anaknya terlibat dalam majlis itu supaya hadir bagi membantu mengurus diri Pelatih (anak) masing-masing.
“Kerjasama semua pihak termasuk para ibu apa amat kita perlukan bagi memastikan majlis itu berjalan lancar dan teratur seperti yang dirancang”, tambah Jabay.