GAMBAR:.. Kereta suspek ketika merempuh kenderaan peronda Penguatkuasa Perbadanan Labuan.
LABUAN: Polis di sini terpaksa melepaskan satu das tembakan kearah tayar sebuah kenderaan yang mencurigakan selepas aksi kejar mengejar di Jalan Bunga Mawar pada malam Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, aksi kejar mengejar itu berlaku kira kira jam 9.30 malam yang melibatkan sebuah kereta peronda MPV polis dengan sebuah kenderaan jenis Mitshubishi Lancer berwarna puteh bermula di depan premis Guardian di Jalan Merdeka.
“ Kita terpaksa melepaskan tembakan pada tayar depan sebelah pemandu selepas kenderaan enggan berhenti dan cuba memecut untuk melarikan diri.
“ Ketika aksi kejar mengejar suspek telah merempuh sebuah kenderaan penguatkuasa Perbadanan Labuan yang sedang membuat rondaan di kawasan kejadian” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam insiden itu, seorang anggota polis yang bertindak untuk menghalang suspek dari meloloskan diri cuba dilanggar oleh suspek.
Bagaimanapun dalam insiden itu tiada sebarang kecederaan berlaku terhadap suspek mahupun orang awam yang berada ditempat kejadian itu.
Ibrahim berkata hasil daripada pemeriksaan pihaknya telah menemui lapan paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu.
Suspek katanya berjaya ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota polis yang bertugas.
Suspek warga tempatan berumur 44 tahun itu turut di siasat di bawah Sekyen 42 Akta Pengangkutan Jalan dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.