27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Polis Tahan Lelaki Disyaki Curi Kabel Telekom di Penampang

Suspek (dua dari kiri) ditahan polis bersama kabel milik Telekom Malaysia yang dicuri

PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam satu operasi awal pagi tadi di sekitar daerah ini.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata tangkapan itu dibuat hasil risikan Task Force Khas Kes Curi Kabel yang ditubuhkan Balai Polis Penampang selepas mengesan sekumpulan lelaki sedang memotong kabel telekomunikasi di Jalan Taman Bulan.


Menurutnya, kumpulan berkenaan melarikan diri menaiki kenderaan sebaik menyedari kehadiran polis, sekali gus mencetuskan aksi kejar-mengejar dari Penampang hingga ke Kota Kinabalu dengan bantuan kenderaan peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.


“Hasil operasi, sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek berjaya ditahan, manakala beberapa rakan suspek lain berjaya meloloskan diri dan kini sedang dikesan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes, termasuk segulung kabel telekomunikasi, alat pemotong besi serta sebuah kenderaan untuk siasatan lanjut.


Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, dan Polis Diraja Malaysia tidak menolak kemungkinan tangkapan lanjut akan dibuat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN