27 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Polis Labuan tambah tiga SJR di kawasan berisiko tinggi COVID 19

SUPT. Muhamad Farid Ahmad.

LABUAN:Polis di sini menempatkan lagi tiga sekatan jalan raya (SJR) yang membabitkan kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID 19 bermula hari ini.

Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata  tiga kawasan tersebut masing masing di Jalan Tenaga, Jalan Simpang Empat Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Kampung Muslim dan jalan masuk  SPMP Kiansam.

SEKATAN Jalan Raya kawasan Jalan Tenaga

“Ketiga-tiga kawasan  itu telah dikenalpasti sebagai kawasan yang berisiko tinggi penularan wabak COVID 19 dan pihak polis mengambil langkah  proaktif dengan  melaksanakan kawalan pergerakan keluar dan masuk ke kawasan tersebut”, katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Jelas Muhamad Farid, penambahan sekatan itu antara lain bertujuan untuk menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), selain memastikan tidak ada orang luar yang tidak berkenaan masuk ke tiga lokasi terlibat.

“Ia juga bertujuan bagi memudahkan pihak PDRM mengesan individu yang melanggar arahan kuarantin (Annex 14b) untuk diambil tindakan” katanya.

Menurut Muhamad Farid lagi, bagi kawasan di Jalan Tenaga, pihak polis telah menutup dua persimpangan jalan iaitu  di simpang jalan keluar dari SJK(C) Chi Hwa dan jalan pintas berdekatan Gelanggang Tenis di Jalan Tenaga.

Katanya, proses penutupan  jalan di Jalan Tenaga ini dilakukan  buat sementara waktu iaitu dari jam 6.00 pagi hingga jam 8.00 malam bagi memastikan orang ramai tidak menggunakan jalan tersebut dan bagi mengelakkan orang yang tidak berkenaan masuk ke kawasan tersebut.

“Hanya penduduk yang tinggal di kiri dan kanan Jalan Tenaga sahaja dibenarkan masuk. Pihak polis menasihatkan orang ramai yang selalu menggunakan jalan tersebut supaya menggunakan laluan lain buat sementara waktu” katanya.

SEKETAN Jalan Raya di SPMP Kiansam

Dalam waktu yang sama, beliau menasihatkan warga Labuan agar terus mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan. Masyarakat juga  dinasihatkan supaya  tidak mudah panik dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh PDRM dalam membendung penularan Covid-19 di Wilayah Persekutuan  Labuan.

Sebelum ini dua SJR telah dilaksanakan masing masing di jalan Tun Mustapha Batu Arang dan Jalan Patau-Patau susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Labuan  berkuatkuasa pada 17 Oktober lalu dan dilanjutkan sehingga 13 November 2020.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN