Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Polis di sini telah memeriksa lebih 16,000 individu dalam dua Sekatan Jalan Raya (SJR) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua dilaksanakan.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pada hari pertama sahaja pihak polis telah memeriksa seramai 9,489 individu.
Bagaimanapun jumlah itu berkurangan kepada 7,400 dan sebahagian besar mereka yang diperiksa merupakan individu yang diberikan pengecualian kerana bekerja di sektor minyak dan gas.
Jelas beliau, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu sehingga hari ini masyarakat Labuan telah memberikan kerjasama yang cukup baik dalam mematuhi arahan PKP iaitu melebihi 95 peratus.
Selain itu, orang ramai juga mematuhi arahan perintah satu kenderaan untuk satu orang sepertimana yang diarahkan melalui PKP fasa dua.
“Namun kita dapati masih ada juga individu yang tidak mematuhi arahan dimana pada hari kelmarin sekurang-kurangnya 300 individu yang hendak ke bandar tanpa memberi alasan yang munasabah telah kita arahkan balik” katanya ketika ditemui semasa melakukan pemeriksaan Sekatan Jalan Raya Ops PKP Covid 19 di Jalan Tun Mustapha di sini, pagi ini.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi pergi ke bandar selepas jam 8 malam, ini kerana semua pasaraya termasuk restoran di pulau ini telahpun ditutup. Semua premis pasaraya dan restoran hanya dibenarkan beroparasi dari jam 8 pagi hingga jam 8 malam sahaja.
“Kalau ada lagi individu yang pergi kebandar dalam waktu itu (jam 8 malam ke atas) kita akan arahkan mereka balik semula ke rumah dan tindakan tegas akan diambil sekiranya ingkar” katanya.
Ditanya mengenai jumlah individu yang ditahan polis sejak PKP dilaksanakan, beliau menjelaskan seramai 8 individu telahpun ditahan atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). –TAMAT–