Rakaman CCTV menunjukkan saspek di premis berkenaan sebelum mencuri wang tunai sebanyak RM3,000
RANAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau sedang mengesan seorang saspek lelaki yang terlibat dengan satu kes curi yang melibatkan kehilangan wang tunai berjumlah RM3,000 di sini pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Ranau P/Supt Mursalin Bin Mahmud berkata, berlaku di Mini Mart Ranau Global Enterprise, Pekan Kundasang pada 23 Mac 2025 sekitar jam 10.50 malam.
Menurut beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat, Sjn. Daryl Dominic Gukor Junior.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang lelaki tidak dikenali memasuki premis dengan berpura-pura membeli barang.
“Ketika pengadu, yang juga pemilik kedai, ke bahagian belakang premis, suspek bertindak mencuri laci kaunter berwarna putih yang mengandungi wang tunai sebanyak RM3,000 sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan kedai.
“Suspek merupakan seorang lelaki yang berpakaian baju-t hitam, seluar panjang hitam dan bertopi cap hitam, selain menutup mukanya dengan kain warna biru bagi mengelakkan pengecaman,” katanya.
Mursalin menambah, pihak polis telah mengambil beberapa tindakan segera, termasuk merekodkan percakapan pengadu di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, melakukan siasatan forensik di lokasi kejadian, serta menghantar cap jari suspek ke bahagian D2 JSJ IPK Sabah untuk analisis.
Katanya, operasi bagi mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan oleh pasukan penyiasat.
“Sehubungan itu, IPD Ranau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ranau di talian 088-875222 atau melaporkan ke balai polis berhampiran.
“Pihak polis juga menasihatkan pemilik perniagaan supaya meningkatkan langkah keselamatan premis dengan pemasangan CCTV, sistem penggera, serta pengawasan berkala bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang,” kata beliau.