RANAU: Ketua Polis Daerah, DSP Simiun Lomudin mengingatkan orang ramai khususnya ibu bapa supaya sentiasa mengambil berat tentang pergerakan anak-anak terutama ketika pergi dan balik dari sekolah.
“Terdapat beberapa kejadian di sini di mana kanak-kanak terpaksa menunggu berjam-jam untuk dibawa pulang oleh ibu bapa,” katanya.
Beliau mengulas kejadian di sini pada 20 April 2022 di mana laporan polis dari Balai Polis Ranau ‘viral’ di media sosial.
Simiun menjelaskan, laporan itu dibuat seorang kakitangan kerajaan di sini susulan kejadian anaknya yang berusia 9 tahun pulang dari sekolah dan diajak masuk ke dalam kereta oleh seorang lelaki dewasa yang tidak dikenali untuk membawa anak pengadu ke sebuah restoran KFC.
Kanak-kanak itu tidak mengendahkan pelawaan lelaki itu, sebaliknya berjalan pulang ke sekolah untuk bertemu ibunya yang juga merupakan kakitangan di sekolah itu.
Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan polis terhadap laporan yang dibuat pengadu mendapati tiada unsur yang boleh menimbulkan syak wasangka dari sudut jenayah.
“Ini kerana anak pengadu menyatakan kejadian pada hari itu bukanlah kali pertama kanak-kanak itu melihat kenderaan itu di luar sekolah. Dan beberapa kali juga, anak pengadu ternampak seorang pelajar sekolah masuk ke dalam kenderaan itu,” katanya.
Sebaliknya, Simiun berkata, kes laporan polis ‘viral’ ini juga ada positifnya iaitu ibu bapa dan pihak berkaitan kini lebih peka terhadap keselamatan anak-anak ketika keluar rumah untuk bermain termasuk ke sekolah.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat panik dengan berita yang tidak sahih dan tidak terlalu pantas untuk ‘viralkan’ setiap maklumat yang diterima melalui media sosial.
“Apatah lagi jika berita itu boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai atau mengganggu ketenteraman awam. Hakikatnya, polis tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan keamanan orang ramai khususnya di kawasan ini. Kami akan sentiasa memastikan keselamatan rakyat pada tahap terkawal dan stabil,” katanya.