32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Polis harus ambil tindakan terhadap Raymond Ahuar kerana menyebarkan berita palsu

KOTA KINABALU: Armada Bersatu Sabah meminta polis mengambil tindakan terhadap Ketua Cabang Keadilan Pensiangan kerana menyebarkan berita palsu melalui kenyataan medianya semalam yang mendakwa “kanak-kanak dijual ibu sendiri”, yang terbukti tidak benar dan fitnah.

Naib Ketua Armada Bersatu Negeri, Rafie Robert (Gambar) merujuk kepada kenyataan dikeluarkan oleh Raymond Ahuar yang bertajuk ‘PDRM Berjaya Menyelamatkan Kanak-Kanak Dijual Ibu Sendiri, Bukti Kesengsaraan Rakyat Hari Ini’.

Katanya, dalam kenyataan tersebut Raymond mendakwa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Daerah Keningau telah berjaya menyelamatkan tiga beradik daripada dijual oleh ibu kandung mereka.

Raymond mendakwa tiga beradik itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia kerana keterdesakan hidup ibu kandung mereka sendiri.

Katanya dia telah dimaklumkan mereka dijual oleh ibu kandung sendiri akibat kesempitan hidup kerana tidak mempunyai wang setelah terputus pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kanak-kanak yang sulung telah dijual oleh ibu mereka dan berjaya diselamatkan dekat sempadan Malaysia/Indonesia oleh PDRM dan Jabatan Kebajikan Keningau, dakwa Raymond, sambil menambah beliau juga dimaklumkan si Ibu telah menerima deposit untuk anak kedua namun pembeli masih belum tampat menuntut kanak-kanak berkenaan manakala anak ketiga masih menunggu pembeli.

Raymond yang juga Ketua AMK Sabah dan Ahli MPP Keadilan juga menggunakan ‘kejadian’ yang didakwanya itu untuk kepentingan politik peribadinya untuk menghasut rakyat dengan mengatakan para Menteri dengan elaun puluhan dan ratusan ribu terus bermain politik tanpa melihat kesengsaraan rakyat.

Selain itu beliau juga menuduh Kerajaan yang ada hari ini jelas gagal menjaga kebajikan rakyat.

Raymond mendakwa selain kes sebegini, peningkatan kes penceraian dan bunuh diri juga berpunca daripada kegagalan Kerajaan hari ini menjaga kebajikan rakyat.

“Tetapi Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, ketika ditanya oleh pemberita, telah menafikan ada kejadian seperti itu berlaku. Tembirangnya terbongkar, terbukti beliau telah menyebarkan berita palsu dan fitnah terhadap kerajaan,” kata Rafie dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengesahan daripada Hazani yang turut disokong oleh Ketua Polis Daerah Keningau, Shahrudin Mat Husain yang berkata, sebaliknya kes itu berkaitan sepasang suami isteri yang ditahan kerana kesalahan dadah.

Shahrudin berkata, lelaki terbabit ditahan pada 22 Mei lalu dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15 (a) (1) akta yang sama.

”Pada 11 Jun lalu, wanita yang juga ibu kepada tiga kanak-kanak pula ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Semasa tangkapan dibuat, dua anak berusia lima tahun dan tujuh bulan yang berada bersama ibu mereka diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan dan kebajikan kanak-kanak terbabit,” kata Shahrudin lagi ketika dihubungi.

Shahrudin berkata, seorang lagi anak berusia tujuh tahun turut diserahkan kepada JKM keesokan harinya.

Shahrudin menjelaskan, siasatan mendapati, sebelum ditahan wanita terbabit pernah memohon bantuan kewangan daripada orang awam bagi membayar wang ikat jamin mahkamah untuk suaminya.

”Tiada sebarang kesalahan berkaitan penjualan kanak-kanak oleh si ibu dan tiada sebarang isu pemerdagangan manusia atas desakan hidup di daerah Keningau.

”Polis memohon agar pihak yang terbabit supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak benar tanpa merujuk kepada polis,” kata Shahrudin.

Rafie berkata, berita palsu yang disebarkan oleh Raymond itu tidak boleh dibiarkan atau diambil mudah oleh polis kerana beliau telah mencetuskan perasaan tidak senang hati di kalangan rakyat di negeri ini.

Mengenai kesukaran hidup yang dihadapi oleh rakyat, Rafie berkata Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah dan terus berusaha untuk membantu mereka yang terkesan oleh pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan Covid-19.

Usaha ini termasuklah mewujudkan Tabung Bencana Covid-19 Negeri di mana dana yang dikumpul akan digunakan untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Menteri dan Pembantu Menteri, serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kakitangan awam negeri turut menyumbang ke dalam tabung ini melalui potongan pendapatan masing-masing.

“Tapi di manakah ADUN-ADUN pembangkang yang terus mendiamkan diri, tidak mahu menyumbang ke dalam tabung ini untuk digunakan membantu rakyat yang terkesan di negeri ini.

“Itu ADUN yang beria-ria mahu menjadi Perdana Menteri pun hanya mendiamkan diri, tidak mahu menyumbang untuk kebajikan rakyat di negeri ini.

“Raymond sepatutnya menggunakan pengaruhnya untuk meminta wakil-wakli rakyat pembangkang untuk turut menyumbang ke dalam tabung tersebut, sekiranya dia benar-benar ikhlas dan ada rasa simpati terhadap rakyat yang terkesan, bukannya sibuk mereka berita palsu,” tegas Rafie.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN