ADVERTISEMENTspot_img

Polis, agensi berkaitan pertingkat kerjasama tangani penyalahgunaan ketum di Ranau

Supt. Mursalin Mahmud, mempengerusikan mesyuarat



RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau mengadakan perjumpaan rasmi bersama beberapa agensi berkaitan bagi membincangkan isu penyalahgunaan ketum dalam kalangan masyarakat setempat, pada Rabu

Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Ketua Polis Daerah (KPD) Ranau dari 11 pagi hingga 12.15 tengah hari itu dipengerusikan Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin Mahmud, dengan penyertaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Ranau, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Ranau, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ranau serta RELA Daerah Ranau.

Turut hadir ialah pegawai kanan dan anggota IPD Ranau termasuk ASP Azli-Fauzan Othman, Insp. Abdul Fatah Qasim, Sjn. Majin Insor @ Anxous dan Kpl. Chelsia Gan. Dari PKD Ranau, mesyuarat disertai Dr. Nor Faizah Ismail dan Dr. Sandra Lydia Lucius, manakala AADK Ranau diwakili PPAD Hazrie Attin serta RELA Ranau oleh Pgr. Mohd. Ramdan Raidin. Secara keseluruhan, seramai 10 pegawai menghadiri perjumpaan itu.

Antara objektif utama mesyuarat ialah meningkatkan kefahaman mengenai peruntukan undang-undang berkaitan ketum, mendapatkan penjelasan kesan kesihatan daripada pakar perubatan, selain membentangkan statistik kes pemilikan ketum di daerah Ranau bagi tempoh 2020 hingga 2025.

Mesyuarat itu turut membuka ruang dialog dua hala antara Polis dan agensi terlibat bagi memperjelas kekeliruan serta merangka kerjasama strategik dalam memperhebat usaha kesedaran awam. Sehubungan itu, PKD Ranau diminta menyediakan risalah dan bahan taklimat untuk diedarkan di sekolah, masjid dan gereja menerusi program ceramah yang dikendalikan oleh pihak Polis.

Program berkenaan menerima sambutan positif daripada semua ketua jabatan yang hadir dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden. Mesyuarat susulan dijadualkan diadakan dalam tempoh dua bulan dengan penglibatan lebih banyak jabatan berkaitan.

Kerjasama berterusan antara Polis dan agensi berkaitan disifatkan penting bagi membanteras penyalahgunaan ketum serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya bahan tersebut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN