26 C
Kota Kinabalu
Ahad, November 9, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

POLEMIK UNDUK NGADAU 2025

OLEH: Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah)

SELAMA beberapa ketika, saya cuba bertenang dan berfikir dalam-dalam.

Entah, apa agaknya yang telah merasuk jawatankuasa ketika memilih konsep pengenalan Unduk Ngadau Kaamatan 2025, yang ala-ala Miss Universe jadi-jadian. Kalau tengok tiga kali, ada juga mirip-mirip sikit Miss Transgender Siam.

Dari segi prinsip pun sudah tidak betul, menciplak dan ikut-ikutan. Belum lagi kita bercakap tentang nuansa budaya, yang bercanggah dengan norma asli sumandak Momogun. Songgiak-giak, miagal poh tanak do rogon.

Selama mengikuti acara signature Kaamatan ini sejak 90-an, saya sudah saksikan banyak pembaharuan. Yang saya nampak sebelum ini, setiap pembaharuan membawa kita semakin dekat kepada elemen sosiobudaya kaum Momogun. Bukan semakin jauh.

Kita bermula dengan Miss Kadazan (1960-1970) yang lebih kepada pesona ratu konvensional. Kemudian dijenama semula kepada Ratu Menuai (1971-1990) yang bertujuan mengangkat mood pesta bagi perayaan harvest festival.

Anjakan paling ikonik bermula pada 1991. Bila acara ini dinaikmartabat sebagai Unduk Ngadau dengan perlambangan pesona Huminodun. Satu simbolik sosiobudaya komuniti Momogun yang dianggap kudus dan terhormat.

Ya, Unduk Ngadau mencitrakan pucuk muda yang dimahkotakan oleh sinar matahari. Satu perlambangan keindahan, kemurnian dan keutuhan — pada level yang paling halus. Kecantikan yang ayu anggun, bukan lawa gedik gelinjang.

Bila misskadazan telah diundukngadaukan, maka tahun demi tahun muncul pembaharuan substantif lain yang lebih autentik. Misalnya, penekanan bahasa ibunda, keaslian busana, syarat perwakilan sub etnik ikut daerah, kemahiran gastronomi tradisi dan pengetahuan asas latar budaya Momogun.

Pendek kata, semua proses tambahbaik itu membawa kita semakin akrab dengan nilai identiti dan jati diri Momogun. Dalam masa yang sama, memisahkan kita semakin jauh daripada bayangan ratu-ratu pop berpaksi komersial.

Ya, kronologi pembaharuan-pembaharuan ini wajib dihayati dan diingati oleh semua. Terutama sekali jawatankuasa penganjur sendiri.

Selama bertahun-tahun, kita buat bermacam cara untuk membuktikan bahawa Unduk Ngadau sebenarnya adalah satu acara sosiobudaya, bukan peragaan sumandak semata-mata. Ya, pencarian duta etnik, bukan pertandingan ratu cantik.

Itulah yang kita usahakan selama ini, cuba mengikis perkaitan dan perbandingan dengan acara ratu-ratu komersial. Kita mau lari daripada stigma pop dan hedonis, kerana Kaamatan adalah warisan adat resam.

Ya, saya setuju. Perubahan dan inovasi itu bagus. Tiada siapa bah mau jadi tunggul. Yang tidak reti berkembang, tidak tau berubah sampai norobuk. Tapi kita juga mesti faham sempadan dan sensitiviti. Kaamatan nopo nga montok toinsanan, okon do montok dika noh.

Betul kata orang. Membina imej dan reputasi, perlukan tenaga bertimbun, dan masa bertahun. Tapi merobohkannya sangat senang. Cuma perlu ego secubit, dan rasa narsis sejengkal: “Akulah bah yang terpaling pengerusi unduk!”

When you are overly obsessive and eager to prove yourself, you tend to lose perspective. Sampai boleh terkeliru antara “pembaharuan” dan “kebaru-baruan”.

Nota:
Kepada para unduk, teruskan berjuang hingga ke pentas akhir Hongkod Koisaan. All the best kio. Ini bukan kritikan untuk peserta, tapi teguran manja buat jawatankuasa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN