KUALA LUMPUR: Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menunjukkan daya tahan apabila merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus pada tahun 2024 dengan sumbangan sebanyak RM652.4 bilion kepada ekonomi negara.
Eksport PMKS turut meningkat 31.3 peratus, bersamaan 14.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara, manakala seramai 8.1 juta pekerja atau 48.7 peratus daripada guna tenaga negara kini disumbangkan oleh sektor ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian ini membuktikan keupayaan PMKS untuk terus berkembang meskipun berdepan cabaran ekonomi global.
“Antara Januari hingga Julai tahun ini sahaja, lebih 237,000 usahawan dan koperasi menerima pembiayaan berjumlah RM6.32 bilion daripada agensi-agensi KUSKOP termasuk TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan, KUSKOP akan memberi tumpuan kepada agenda penskalaan PMKS bagi melahirkan lebih banyak syarikat tempatan berdaya cipta dan berdaya saing, di samping memperkukuh sektor ketiga melalui perusahaan sosial, perniagaan inklusif dan koperasi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi sosial yang inklusif dan mampan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat pada 20 Ogos 2025 bagi pihak kementeriannya
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada 18 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan RMK-13 dengan menyentuh isu-isu berkaitan usahawan dan koperasi. Beliau memberi jaminan bahawa pandangan dan cadangan tersebut akan diambil kira dalam pelaksanaan dasar kementeriannya.
Mengulas mengenai penskalaan PMKS, beliau menjelaskan bahawa kerajaan menyasarkan peningkatan syarikat bersaiz sederhana kepada lima peratus menjelang 2030 berbanding hanya 1.8 peratus pada tahun lalu. Antara langkah utama yang digariskan termasuk menggalakkan penyertaan dalam aktiviti bernilai tambah tinggi, memperluas penglibatan dalam rantaian nilai global, serta meningkatkan penyenaraian syarikat PMKS di pasaran saham.
“Dalam sektor halal pula, KUSKOP melaksanakan program strategik berfasa termasuk pembangunan kapasiti industri, pembudayaan jenama halal, inovasi teknologi serta pengantarabangsaan produk halal bagi membantu usahawan menembusi pasaran global
“Bagi memperkasa usahawan Bumiputera, pelbagai inisiatif dilaksanakan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 termasuk Program Peningkatan Enterpris Bumiputera, Galakan Eksport Bumiputera, BRAVE, Jaguh Serantau serta pembangunan vendor,” jelas beliau.
Menurutnya, dalam aspek sektor ketiga, koperasi kekal menjadi tonggak dengan pelbagai inisiatif pembiayaan dan bantuan disediakan. Tahun lalu sahaja, terdapat 321 koperasi peneroka FELDA dengan keanggotaan hampir 400,000 orang dan aset melebihi RM5 bilion. Sabah pula mencatatkan 1,994 koperasi dengan nilai perolehan berjumlah RM774 juta, menjadikannya negeri kelima tertinggi selepas Kuala Lumpur, Pahang, Johor dan Selangor.
Ewon turut menekankan pembangunan perusahaan sosial selaras dengan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030. Sehingga Ogos 2025, sebanyak 520 entiti telah menerima penarafan perusahaan sosial, dan kerajaan bercadang menubuhkan badan kawal selia khusus serta kerangka perundangan baharu dalam fasa seterusnya.
“Menyentuh dasar dan polisi berkaitan PMKS, KUSKOP akan terus menjadi peneraju utama pembangunan keusahawanan melalui penyelarasan di peringkat kebangsaan dan negeri. Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri manakala Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional dipengerusikan Menteri KUSKOP sendiri
“Kerajaan juga memberi penekanan kepada produk “Made by Malaysia” bagi memastikan PMKS mendapat peluang adil dalam projek pembangunan negara termasuk dalam rantaian bekalan pelaburan asing
“Dalam masa yang sama, cadangan penurunan cukai kepada usahawan PMKS sedang diteliti kerana walaupun ia mampu mengurangkan kos operasi, ia boleh menjejaskan hasil fiskal negara,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa semua inisiatif ini akan dilaksanakan secara inklusif dengan kerjasama kementerian dan agensi lain supaya PMKS, koperasi, perusahaan sosial serta usahawan Bumiputera terus menjadi teras pertumbuhan ekonomi negara di bawah RMK-13.



