27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, April 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini

Tambahnya lagi, Kerajaan akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Jelas Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Alhamdulillah, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,” katanya lagi dalam dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung, pada Rabu.

Semalam, Perdana Menteri berkata usul membabitkan pembatalan Ordinan-Ordinan darurat akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Katanya, ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat secara harmoni dan berperlembagaan.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Tambahnya lagi, Kerajaan akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan. –Awani

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN